SK Pulo Baharu Capai 95 Peratus Siap, Dijangka Siap Akhir April 2026
KUCHING: Projek pembinaan Sekolah Kebangsaan (SK) Pulo yang baharu di Darul Hana, Blok 4 kini mencapai tahap kemajuan 95 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada akhir April 2026, sekali gus menandakan fasa akhir pelaksanaan projek pendidikan bernilai RM43.55 juta itu.
Perkembangan positif tersebut didedahkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi semasa lawatan ke tapak pembinaan sekolah berkenaan, di sini, pada Selasa.
Katanya, projek yang bermula pada 1 Februari 2023 itu melibatkan pembinaan blok utama sekolah setinggi empat tingkat, bangunan prasekolah dewan serta kantin sekolah
Dalam lawatan tersebut, beliau turut meninjau tahap kesiapsiagaan kemudahan utama yang kini hampir siap sepenuhnya.
Sekolah baharu ini turut dilengkapi kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU), termasuk laluan khas, ‘access ramp’, tandas mesra OKU serta kemudahan lif bagi memastikan pergerakan yang selesa dan selamat kepada murid, guru serta pelawat berkeperluan khas di setiap aras bangunan.
Selain itu, kemudahan sokongan seperti dataran perhimpunan, laluan pejalan kaki berbumbung, kawasan menunggu pelawat serta ruang rekreasi mesra komuniti turut disediakan bagi mewujudkan persekitaran sekolah yang kondusif dan inklusif.
Dari segi kapasiti, sekolah baharu ini akan menempatkan 30 bilik darjah sekolah rendah berbanding 24 bilik darjah sebelum ini, sekali gus meningkatkan kapasiti pelajar daripada 680 kepada 900 orang.
Bagi prasekolah pula, jumlah bilik darjah ditambah daripada dua kepada tiga, dengan kapasiti murid meningkat daripada 50 kepada 75 orang.
Peningkatan ini dijangka dapat mengurangkan kesesakan bilik darjah serta menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa, selamat dan berkualiti, khususnya kepada murid berkeperluan khas. -EDISI UKAS