AirBorneo Dijangka Terima Lapan Pesawat ATR Baharu Mulai 2027 Hingga 2029
KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan milik Kerajaan Sarawak, AirBorneo terus mengorak langkah strategik apabila memeterai perjanjian pembelian lapan pesawat ATR baharu yang dijadualkan diterima secara berperingkat antara tahun 2027 hingga 2029.
Pesanan tersebut merangkumi lima pesawat ATR 72-600 dan tiga pesawat ATR 42-600, sekali gus menjadi sebahagian daripada usaha pembaharuan armada serta pengukuhan operasi penerbangan, khususnya bagi menyokong pelaksanaan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS).
Menurut kenyataan bersama AirBorneo dan pengeluar pesawat ATR, perjanjian yang dimuktamadkan pada penghujung 2025 itu turut merangkumi hak pembelian empat pesawat tambahan, bagi menampung keperluan operasi dan pengembangan rangkaian pada masa hadapan.
Langkah strategik berkenaan turut membuka potensi peluasan perkhidmatan melepasi rangkaian RAS, termasuk penerokaan laluan serantau dalam kawasan pertumbuhan ASEAN Timur yang melibatkan Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Filipina.
Kenyataan itu menyifatkan perjanjian tersebut sebagai detik penting dalam fasa transformasi AirBorneo, susulan pengambilalihan MASWINGS Sdn Bhd oleh Kerajaan Sarawak pada 2025, sebelum syarikat penerbangan berkenaan dijenamakan semula.
Seiring pengambilalihan peranan sebagai pengendali utama RAS, AirBorneo kini memikul tanggungjawab strategik untuk menghubungkan kawasan pedalaman serta komuniti sukar diakses di Sarawak, Sabah dan Labuan.
Ketika ini, AirBorneo mengoperasikan lapan pesawat ATR 72-500 yang diteruskan daripada operasi MASWINGS sebelum ini.-EDISI UKAS