BINTULU: Usaha memperkukuh Pasukan Bomba Komuniti terus dipertingkatkan melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif berterusan merangkumi aspek latihan, penyediaan peralatan serta penglibatan aktif komuniti setempat bagi memperkukuh tahap kesiapsiagaan menghadapi sebarang kecemasan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Jamri Masran berkata, penubuhan Pasukan Bomba Komuniti di Sarawak memainkan peranan penting sebagai benteng awal sebelum ketibaan pasukan bomba.
Menurutnya, sebanyak 48 pasukan ditubuhkan pada tahun 2023, meningkat kepada 58 pasukan pada 2024 dan melonjak kepada 101 pasukan pada tahun 2025.
Dari segi keahlian pula, seramai 826 ahli direkodkan pada 2023, meningkat kepada 1,188 orang pada 2024 dan seterusnya 1,104 orang pada 2025.
“Penubuhan pasukan ini bertujuan memastikan masyarakat mempunyai pengetahuan, kemahiran dan keupayaan untuk bertindak awal sekiranya berlaku kebakaran,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Komuniti, Prihatin, Kediaman Selamat Bersama Bomba Sarawak Tahun 2026 Peringkat Zon Bintulu yang dirasmikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Professor Dr Sim Kui Hian di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, statistik kebakaran menunjukkan kebakaran rumah masih menjadi antara penyumbang utama kepada kerugian harta benda dan kehilangan nyawa.
Jelasnya, sebanyak 2,090 panggilan kebakaran direkodkan pada tahun 2023, meningkat kepada 2,179 kes pada 2024 sebelum menurun kepada 2,106 kes pada 2025.
"Meskipun berlaku penurunan, jumlah keseluruhan kes masih membimbangkan dan memerlukan usaha pencegahan diperkukuh secara berterusan.
“Pendekatan melalui pendidikan, kesedaran serta penglibatan komuniti amat penting bagi mengurangkan risiko kebakaran,” katanya.
Di Bintulu, sebanyak 13 Pasukan Bomba Komuniti ditubuhan dengan keahlian seramai 108 orang bagi membantu memperkukuh keselamatan setempat.-EDISI UKAS