Zon Utara Yakin Ulangi Sejarah Kejayaan Edisi Pertama SUKSAR
BETONG: Zon Utara memberi keyakinan penuh untuk mengulangi sejarah kejayaan mereka semasa penganjuran edisi pertama Sukan Sarawak (SUKSAR) pada tahun 2020.
Residen Bahagian Bintulu merangkap Chef de Mission (CDM) Zon Utara, Datu Nyurak Keti, berkata keyakinan ini ditampilkan susulan prestasi terbaik atlet di bawah jagaan beliau.
“Kita sangat yakin bahawa memang kita berpeluang untuk mengulangi kejayaan kita pada sesi SUKSAR yang pertama dulu kerana kita lihat pencapaian atlet-atlet kita pada tahun ini lebih baik daripada yang lepas-lepas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian SUKSAR 2026, di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, untuk mendapatkan gelaran juara, Zon Utara sekurang-kurangnya memungut 50 pingat.
“Pingat kalau kita tengok keseluruhan untuk menjadi juara tidak kurang daripada 50 pingat,” ujarnya lagi.
Difahamkan, Zon Utara mempertaruhkan seramai 305 anggota kontinjen yang terdiri daripada atlet, jurulatih, pegawai serta urus setia dari Bahagian Miri, Bintulu dan Limbang bagi memburu kecemerlangan kejohanan edisi kali ini. -EDISI UKAS