Penilaian UP-DLP Sarawak Jadi Penanda Aras Baharu Pendidikan Dwibahasa
KUCHING: Pelaksanaan Ujian Penilaian Program Dwibahasa Sarawak (UP-DLP Sarawak) mencatat satu pencapaian penting dalam landskap pendidikan negeri apabila berjaya dilaksanakan sepenuhnya dengan kelulusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Penilaian berasaskan negeri itu mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh penguasaan subjek dan kecekapan bahasa pelajar, khususnya dalam pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP) di peringkat sekolah.
Pelaksanaan UP-DLP Sarawak melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk KPM Putrajaya, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, pihak sekolah dan pendidik, Swinburne Inovasi Malaysia Sdn Bhd sebagai agensi pelaksana serta institusi rakan strategik seperti Kolej Universiti
i-CATS dan Universiti Teknologi Sarawak (UTS).
Persiapan rapi turut merangkumi pembangunan garis panduan, penubuhan jawatankuasa, kawalan keselamatan peperiksaan yang ketat, sesi taklimat di seluruh negeri, pendaftaran dalam talian, penyediaan dan penilaian soalan serta pengurusan logistik dari peringkat percetakan hingga pemarkahan.
Selain itu, operasi logistik dan keselamatan berjaya dilaksanakan termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman hasil kerjasama antara agensi, dengan keselamatan pelajar serta integriti peperiksaan menjadi keutamaan.
Kejayaan UP-DLP Sarawak membuktikan keupayaan sistem pendidikan negeri, profesionalisme para pendidik serta kesiapsiagaan pelajar dalam menghadapi penilaian berstruktur dan standard.
Dalam pada itu, pihak kementerian menghargai pandangan yang dikemukakan oleh beberapa pihak berhubung pelaksanaan UP-DLP Sarawak, namun menegaskan rangka kerja sedia ada akan dikekalkan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan guru, pelajar dan ibu bapa, selain memastikan pematuhan terhadap kelulusan KPM.
Pelaksanaan UP-DLP Sarawak turut dilihat sebagai inisiatif awal sejajar MA63, sekali gus mencerminkan tahap kesiapsiagaan institusi, keupayaan teknikal dan kematangan tadbir urus Sarawak dalam mengendalikan penilaian standard dalam kerangka pendidikan nasional.-EDISI UKAS