AirAsia Tambah Penerbangan Sempena Musim Perayaan, Permudah Rakyat Sarawak Pulang
KUCHING: Syarikat penerbangan AirAsia akan menambah bilangan penerbangan antara Semenanjung Malaysia dan Sarawak bagi menampung peningkatan permintaan sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, sebanyak 23 penerbangan tambahan akan disediakan oleh AirAsia bagi tempoh 13 hingga 24 Februari sempena Tahun Baharu Cina.
Menurutnya, tambahan 25 penerbangan lagi akan beroperasi dari 18 hingga 26 Mac bagi memenuhi keperluan perjalanan sempena Hari Raya Aidilfitri.
“Musim perayaan merupakan waktu yang sangat bermakna untuk keluarga. Penerbangan tambahan ini akan membantu memastikan rakyat Sarawak yang bekerja atau belajar di luar negeri mempunyai akses penerbangan yang lebih baik untuk pulang dan meraikan perayaan bersama insan tersayang,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Dalam satu pertemuan bersama Pengarah Hal Ehwal Sarawak AirAsia, Hamdan Mohamad, beliau telah diberi taklimat mengenai persediaan operasi serta penjadualan penerbangan tambahan bagi musim perayaan.
Dato Sri Lee turut memaklumkan bahawa AirAsia akan menawarkan tambang promosi bermula serendah RM328 sehala bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu.
“Inisiatif ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban kewangan penumpang yang ingin pulang ke Sarawak sempena musim perayaan,” jelasnya.
Beliau menambah, Kementerian Pengangkutan Sarawak sentiasa bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan Malaysia, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) serta syarikat-syarikat penerbangan bagi memastikan kapasiti penerbangan mencukupi dan tambang kekal berpatutan ketika tempoh puncak.
Katanya, syarikat penerbangan lain juga dijangka membuat pelarasan jadual penerbangan masing-masing bagi memenuhi permintaan penumpang.
Dalam pada itu, Dato Sri Lee menegaskan komitmen Kerajaan Sarawak melalui inisiatif i-GPS Sarawak 2026 (Inisiatif Graduan Pulang Sarawak), iaitu program subsidi tiket penerbangan untuk membantu pelajar Sarawak di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Program tersebut bertujuan meringankan kos perjalanan pelajar untuk pulang ke Sarawak terutama ketika musim perayaan atau cuti panjang akademik.-EDISI UKAS