SUKSAR 2026 Tarik Pelancong & Rancakkan Pembangunan Ekonomi Setempat
BETONG: Penganjuran Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026 menjadi serampang dua mata kepada tuan rumahnya iaitu Betong dan Sri Aman yang mampu menarik pelancong luar sekali gus merancakkan pembangunan ekonomi setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnical Rayong berkata, SUKSAR turut berjaya menarik kehadiran pengunjung dari luar Bahagian Betong termasuk atlet, pegawai dan penyokong sekali gus mempromosikan kawasan tersebut sebagai destinasi pelancongan sukan.
“Acara seperti SUKSAR memberi peluang untuk mempromosikan kawasan luar bandar, bukan sahaja kepada pelancong tempatan tetapi juga dari luar Sarawak, khususnya melalui sukan,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) sempena Majlis Perasmian SUKSAR IV 2016 di sini pada Rabu.
Sementara itu, ADUN Krian Friday Belik, berkata penganjuran SUKSAR memberi kesan positif yang ketara kepada peniaga dan penjaja kecil di Betong apabila peningkatan jumlah pengunjung membuka peluang pendapatan sepanjang tempoh kejohanan berlangsung.
“Penganjuran SUKSAR memberi impak besar kepada penduduk tempatan, terutamanya peniaga dan penjaja kecil. Walaupun mereka berniaga secara bermusim, kehadiran ramai atlet dan pengunjung memberi peluang kepada mereka untuk meningkatkan pendapatan,” katanya.
Pandangan tersebut turut disokong oleh Syamsyuriadi Zainudin, seorang peniaga tempatan, yang menjelaskan SUKSAR memberi kesan langsung kepada peningkatan jualan, khususnya melibatkan makanan dan minuman.
“Semasa SUKSAR berlangsung, jualan meningkat kerana ramai atlet dan pengunjung datang ke Betong. Ini membantu peniaga kecil seperti kami,” katanya.
Dalam pada itu, kedua-dua wakil rakyat berkenaan turut senada bahawa SUKSAR memainkan peranan penting dalam memupuk minat golongan muda terhadap sukan dan menyokong aspirasi Sarawak untuk muncul sebagai kuasa besar sukan di peringkat nasional dan antarabangsa.
Sementara itu, atlet karate Joecy Geneilvea Zainie menyifatkan SUKSAR sebagai platform penting untuk pendedahan dan motivasi atlet muda.
“SUKSAR memberi peluang kepada atlet muda untuk bersaing, belajar dan meningkatkan keyakinan diri sebelum melangkah ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya.
Seorang lagi atlet, Hareez Noor’haikal Abdul Firdaus Khan yang mewakili sukan sofbol, berkata kejohanan tersebut menyuntik semangat golongan muda untuk terus aktif dalam sukan.
“Melalui SUKSAR, kami lebih bersemangat untuk berlatih dan membuktikan kemampuan, sekali gus mengharumkan nama daerah dan negeri,” katanya. -EDISI UKAS