Projek Jalan Kebuaw–Sibu Capai 90 Peratus Kemajuan, Mendahului Jadual
MATU: Projek pembinaan Jalan Kebuaw–Sibu mencatatkan kemajuan fizikal sebanyak 90.21 peratus, sekali gus mendahului jadual pelaksanaan yang ditetapkan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya berkata, kemajuan jadual projek kini berada pada paras 86.88 peratus dengan varians positif +3.33 peratus, menunjukkan pelaksanaan projek berjalan lebih awal daripada perancangan asal.
Beliau turut menzahirkan kepuasan terhadap prestasi kerja kontraktor yang disifatkan komited serta mematuhi spesifikasi ditetapkan, selain pemantauan berterusan oleh agensi pelaksana, Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Mukah.
Katanya, pembinaan Jalan Kebuaw–Sibu merupakan antara inisiatif strategik Kerajaan Sarawak bagi menghubungkan rangkaian jalan pesisir dengan Laluan Pan Borneo di Sibu, sekali gus meningkatkan akses darat yang lebih cekap dan menyeluruh kepada rakyat.
“Apabila siap sepenuhnya melibatkan empat fasa pembinaan, jalan ini akan menghubungkan Jambatan Igan terus ke Bandar Sibu dengan jarak kira-kira 70 kilometer, seterusnya memendekkan jarak serta masa perjalanan,” katanya pada Selasa.
Beliau menambah, projek tersebut dijangka memberi impak signifikan terhadap pembangunan ekonomi setempat melalui kelancaran pergerakan penduduk dan hasil ekonomi, di samping membuka peluang pembangunan baharu di sepanjang jajaran jalan berkenaan.
Turut hadir Pegawai Daerah Matu, Hamidah Halpi, serta Jurutera JKR Bahagian Mukah, Awang Dasuki Awang Dol.-EDISI UKAS