ADUN Jemoreng Tinjau Kemajuan Projek Ladang Cili Moden Di Igan
IGAN: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya telah mengadakan tinjauan kemajuan projek Integrated Agro Park yang sedang dilaksanakan di Daerah Matu.
Tinjauan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha memastikan pelaksanaan projek pertanian moden berimpak tinggi berjalan lancar selaras dengan matlamat memperkasa sektor pertanian serta meningkatkan pengeluaran hasil bernilai tinggi di Sarawak.
Projek ladang cili berkenaan dilaksanakan oleh Regional Corridor Development Authority (RECODA) sebagai inisiatif pembangunan ekonomi luar bandar di bawah Kerajaan Persekutuan.
Setakat 25 Januari 2026, kemajuan fizikal projek telah mencapai 14.27 peratus berbanding 16.90 peratus seperti yang dijadualkan, mencatatkan kelewatan sebanyak 2.63 peratus.
Untuk rekod, projek ini telah dianugerahkan kepada kontraktor pada 3 Julai 2024 dengan tempoh pelaksanaan selama 18 bulan, melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM15.98 juta.
Turut hadir dalam tinjauan tersebut ialah Pegawai Daerah Matu, Hamidah Halpi. - EDISI UKAS