Projek Bekalan Air Bersih di Julau Hampir Siap Sepenuhnya
JULAU: Projek bekalan air bersih bernilai kira-kira RM25.69 juta yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak kini hampir siap sepenuhnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Dato Rolland Duat Jubin berkata projek berkenaan dijangka mampu menyelesaikan masalah gangguan bekalan air yang sekian lama dihadapi penduduk di Pekan Julau serta kawasan sekitarnya.
“Pelaksanaan projek ini merupakan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan rakyat menikmati bekalan air bersih yang mencukupi, berkualiti dan berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri lawatan tapak ke Loji Rawatan Air Julau di sini, pada Selasa bagi meninjau kemajuan Projek Bekalan Air Julau Pakej 1 – Cadangan Naik Taraf Loji Rawatan Air Julau, Takungan, Saluran Paip serta Kerja-Kerja Berkaitan.
Menurut beliau, projek tersebut melibatkan pembinaan loji rawatan air baharu berkapasiti 3.4 juta liter sehari, pembinaan takungan air serta pemasangan rangkaian paip baharu bagi menaik taraf sistem bekalan sedia ada sekali gus memberi manfaat kepada lebih 1,000 isi rumah.
Tambahnya, berdasarkan taklimat yang disampaikan oleh Jurutera Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarikei, Ts. Chieng Gin Wei, projek berkenaan dijangka menjalani proses ujian dan pentauliahan sebelum mula menyalurkan bekalan air kepada penduduk.
Dalam pada itu, Dato Rolland menegaskan bahawa Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa peka terhadap keperluan asas rakyat dan meminta semua pihak agar bersabar sementara menunggu projek berskala besar itu disiapkan sepenuhnya.
“Setiap projek memerlukan perancangan rapi dan pelaksanaan yang teliti supaya manfaatnya dapat dinikmati untuk jangka panjang,” tambahnya.
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Paulus Dandee Banyang, Pegawai Daerah Julau Minggu Jampong, wakil-wakil jabatan kerajaan, ketua-ketua jabatan teknikal serta ketua-ketua masyarakat setempat. —EDISI UKAS