Usaha Selesaikan Isu Dokumentasi Rakyat dan Perkukuh Sempadan Jadi Fokus Pertemuan di Tapak Megah
KAPIT: Usaha menangani isu dokumentasi pengenalan diri rakyat pedalaman serta memperkukuh pengurusan keselamatan sempadan Sarawak–Indonesia menjadi fokus utama pertemuan antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon bersama Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Tapak Megah, Long Nawang pada Rabu.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pemimpin turut mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Dalam Negeri bagi membincangkan isu-isu penting yang melibatkan kepentingan rakyat, khususnya komuniti pedalaman dan kawasan sempadan Sarawak di DUN Murum.
Antara perkara utama yang dibincangkan ialah isu dokumentasi pengenalan diri melibatkan MyKad dan sijil lahir, selain keperluan pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Tapak Megah yang bersempadan dengan Pusat Latihan dan Pemeriksaan Sempadan (PLBN) Long Nawang, Indonesia.
Dalam pertemuan itu, Kennedy menyatakan keyakinan penuh terhadap kepimpinan Menteri Dalam Negeri dalam menyelesaikan isu dokumentasi yang berlarutan serta memperkukuh kawalan dan keselamatan sempadan negara di kawasan pedalaman Sarawak.
“Isu ini amat penting kepada rakyat Murum kerana ia berkait rapat dengan akses mereka kepada perkhidmatan kerajaan, pendidikan dan peluang pembangunan.
“Pada masa sama, pembinaan ICQS di Tapak Megah akan memperkukuh pengurusan sempadan, memudah cara pergerakan serta menyokong aktiviti sosioekonomi setempat,” tambah Kennedy.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Malaysia, Dato’ Badrul Hisham atas kerjasama dan komitmen dalam memudah cara pertemuan tersebut.
Turut serta dalam kunjungan tersebut ialah pemimpin masyarakat Orang Ulu dari Murum iaitu Pemanca Tony Kulleh, Pemanca Umek Jeno dan Penghulu Dominic Minggu.-EDISI UKAS