Akses Internet Berkualiti Penting Sokong Kehidupan Harian Penduduk Pedalaman Mulu
MIRI: Akses internet yang stabil dan berkualiti amat penting dalam menyokong urusan harian penduduk, memperkukuh komunikasi, memudahkan akses pendidikan digital serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada komuniti setempat, khususnya di kawasan pedalaman.
Perkara itu antara penekanan utama dalam sesi perbincangan antara wakil rakyat dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memperkukuh liputan serta kestabilan perkhidmatan internet di kawasan pedalaman Mulu, pada Rabu.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala menghadiri mesyuarat bersama SKMM Cawangan Miri bagi membincangkan pelaksanaan serta penambahbaikan perkhidmatan Broadband Wireless Access (BWA) di beberapa lokaliti termasuk Long Medamud, Ba Tik A, Ba Tik B dan Long Lobang.
Beliau berkata, perbincangan itu memberi tumpuan kepada usaha memastikan masyarakat luar bandar tidak ketinggalan dalam arus pendigitalan yang semakin pesat, selaras dengan keperluan semasa dan hala tuju pembangunan digital Sarawak.
Dalam mesyuarat tersebut, beberapa isu teknikal berkaitan perkhidmatan sedia ada turut dibangkitkan, termasuk status semasa infrastruktur BWA serta langkah susulan yang perlu diambil bagi memastikan penyampaian perkhidmatan internet dapat dipertingkatkan secara lebih berkesan.
Datuk Gerawat menegaskan komitmen berterusan untuk bekerjasama rapat dengan SKMM serta agensi berkaitan dalam memperkasa pembangunan digital di kawasan pedalaman, sejajar dengan aspirasi pembangunan inklusif Sarawak dan negara.-EDISI UKAS