Bola Keranjang 5x5 Wanita Buka Tirai SUKSAR IV 2026 Di Sri Aman
SRI AMAN: Acara Bola Keranjang 5x5 wanita sempena Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026 membuka tirainya di Mini Stadium Sri Aman dengan perlawanan sulung mempertemukan pasukan Zon Utara dan Zon Tengah, sekali gus menyemarakkan persaingan awal acara berpasukan itu.
Perlawanan yang bermula sekitar jam 9 pagi itu menyaksikan pasukan Zon Utara tampil dominan apabila berjaya menewaskan Zon Tengah dengan keputusan 44 berbalas 29 mata, sekali gus mencatat kemenangan pertama dalam kejohanan berkenaan.
Suasana di Mini Stadium Sri Aman berlangsung meriah dengan kehadiran para peserta dan penonton yang hadir bagi menyaksikan aksi pembukaan acara bola keranjang tersebut.
Turut hadir menyaksikan perlawanan ialah Residen Bahagian Kuching, Dayang Joanita Azizah Abang Morshidi.
Penganjuran pertandingan sukan ini bukan sahaja berperanan sebagai platform mencungkil bakat baharu dalam sukan bola keranjang, malah turut memperkukuh pembangunan sukan berprestasi tinggi selaras dengan objektif penganjuran SUKSAR di Sarawak.-EDISI UKAS