Produk Berasaskan Nanas Berpotensi Tingkat Ekonomi Luar Bandar Beting Maro
BELADIN: Kursus inovasi pemprosesan produk berasaskan nanas berpotensi menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi komuniti setempat apabila kemahiran dan pengetahuan yang diperoleh peserta dimanfaatkan secara berterusan dalam bidang keusahawanan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Dato Razaili Gapor berkata, penganjuran kursus berkenaan memberi pendedahan penting kepada peserta dalam meneroka potensi industri nanas sebagai sumber pendapatan baharu penduduk di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM15 juta bagi kawasan Beting Maro untuk membangunkan industri nanas secara menyeluruh agar ia dapat berkembang serta diperluaskan sejajar dengan permintaan pasaran, khususnya di Sarawak.
“Perancangan turut merangkumi pembinaan sebuah kilang mini pemprosesan bagi memastikan industri ini terus maju dan mampu menghasilkan pelbagai produk berasaskan nanas yang bernilai tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Kursus Inovasi Pemprosesan Produk Berasaskan Nanas di Dewan Al Amin Beladin, Pusa pada Khamis.
Tambahnya, kewujudan kemudahan pemprosesan tersebut kelak akan membolehkan penghasilan pelbagai produk seperti jus nanas, jem nanas serta produk sampingan lain, sekali gus meningkatkan nilai tambah hasil pertanian tempatan.
“Jika industri ini dibangunkan secara bersungguh-sungguh, ia mampu menjana pendapatan keluarga dan seterusnya meningkatkan taraf hidup komuniti setempat,” ujarnya.
Razaili turut yakin produk berasaskan nanas berpotensi mendapat sambutan menggalakkan, terutamanya semasa musim perayaan, selain melihat kawasan Beting Maro sebagai lokasi strategik untuk dijadikan pusat pengeluaran produk makanan berasaskan pertanian.
Sementara itu, Pengarah LPNM Sarawak, Mohd Nazaiful Azdi Rahman, berkata pihaknya akan terus memberi sokongan dan bimbingan kepada peserta dalam menghasilkan produk berasaskan nanas yang berkualiti serta berdaya saing.
Menurut beliau, kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM80 juta bagi membangunkan penanaman nanas di Sarawak, sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada komuniti luar bandar. —EDISI UKAS