Atlet Zon Barat & Zon Selatan Tonjol Dominasi Dalam Acara Petanque SUKSAR 2026
SIMANGGANG: Pasukan tuan rumah Zon Barat memulakan kempen dengan cemerlang apabila berjaya menewaskan Zon Tengah dalam salah satu perlawanan pusingan awal kategori perseorangan lelaki sukan Petanque sempena Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026 di Padang Petanque Kompleks Sukan Sri Aman, pada Khamis.
Kemenangan Zon Barat diraih menerusi wakilnya, Haizulfikriey Ramlee yang mempamerkan aksi dominan apabila menumpaskan Muhkriz Mohamad Hairy dari Zon Tengah dengan keputusan 13–0, sekali gus melayakkan diri ke pusingan seterusnya.
Dalam satu lagi perlawanan pusingan awal perseorangan lelaki, Zon Selatan turut mencatat kemenangan apabila wakilnya, Muhamad Irfan Syazani Fazarullah berjaya menewaskan peserta Zon Utara, Mohd Zhafiran Zafri Mohd Kassim dengan kiraan mata 13–9.
Sementara itu, kategori perseorangan wanita menyaksikan Zon Selatan meneruskan momentum kemenangan apabila Nur Durratul Asilah Yazit, menumpaskan Puteri Maslina Zamil Ambia, dari Zon Utara dengan keputusan 13–8 untuk mara ke pusingan berikutnya.
Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh bersama rombongan turut hadir bagi menyaksikan perlawanan pusingan awal acara sukan tersebut, sekali gus memberi sokongan kepada para atlet yang bertanding.-EDISI UKAS