Pre-Lab RTP 2027 Peringkat Daerah Asajaya Perkukuh Pembangunan Setempat
ASAJAYA: Pejabat Daerah Asajaya buat julung kali menganjurkan Sesi Pre-Lab Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2027 di peringkat daerah sebagai pendekatan lebih fokus bagi memastikan perancangan projek memberi manfaat berguna dan tepat kepada masyarakat setempat.
Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zannuddin Bidin berkata, sesi ini membolehkan penelitian lebih mendalam terhadap keperluan infrastruktur dan sosioekonomi di Daerah Asajaya serta Daerah Kecil Sadong Jaya.
"Ini adalah satu langkah proaktif kerajaan bagi memastikan setiap cadangan projek luar bandar untuk tahun 2027 bukan sahaja menepati kriteria teknikal, malah memberikan impak maksimum kepada komuniti di bawah seliaan Bahagian Samarahan menerusi saringan lebih awal di peringkat akar umbi," katanya ketika mempengerusikan sesi tersebut di Dewan Tan Sri Datuk Amar Haji Abg. Ikhwan Zaini pada Khamis.
Jerry menambah, tumpuan diberikan kepada aspek ketersambungan dan kemudahan awam selari dengan aspirasi transformasi luar bandar Sarawak, selain menekankan kerjasama antara agensi bagi menjamin kelancaran pelaksanaan projek.
Dalam majlis sama, turut diadakan sesi taklimat serta upacara ikrar integriti bagi memperkukuh tadbir urus dan akauntabiliti penjawat awam serta agensi pelaksana.
Hadir sama ialah Penolong Pegawai Daerah Asajaya Hasanah Bujang serta barisan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dari Daerah Asajaya dan Daerah Kecil Sadong Jaya.-EDISI UKAS