50 Atlet Empat Zon Berentap Dalam Ping Pong SUKSAR 2026
SRI AMAN: Seramai 50 atlet dari empat zon seluruh Sarawak berentap dalam Pertandingan Ping Pong sempena Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026 yang membuka tirainya pada Khamis di Dewan Suarah Sri Aman sekali gus menyemarakkan persaingan awal temasya sukan peringkat negeri itu.
Seawal pagi, para atlet dari Zon Barat, Zon Utara, Zon Tengah dan Zon Selatan mula hadir bagi menjalani persiapan akhir, termasuk sesi pemanasan badan, semakan peralatan serta penyesuaian gelanggang sebelum perlawanan dimulakan.
Suasana dewan dipenuhi semangat kesukanan apabila para atlet menampilkan tahap fokus dan refleks yang tinggi, mempamerkan pergerakan pantas, tepat serta bertenaga sejajar dengan piawaian pertandingan yang ditetapkan.
Pertandingan ping pong ini menyaksikan persaingan sengit antara atlet dari pelbagai zon, sekali gus memberi peluang kepada peserta untuk menguji tahap kemahiran teknikal, ketahanan mental serta disiplin sepanjang kejohanan berlangsung.
Penganjuran Pertandingan Ping Pong SUKSAR IV 2026 oleh Sekretariat SUKSAR IV 2026 dilihat sebagai platform penting dalam mencungkil serta membangunkan bakat atlet ping pong berpotensi tinggi di peringkat negeri.
Inisiatif ini selari dengan matlamat SUKSAR untuk memperkukuh ekosistem sukan Sarawak di samping melahirkan atlet yang berdaya saing dan berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi pada masa hadapan.
Selain itu, kehadiran serta sokongan masyarakat setempat bukan sahaja memberi suntikan motivasi kepada para atlet, malah mencerminkan semangat perpaduan dan kebersamaan dalam menyokong pembangunan sukan tempatan di Sarawak.-EDISI UKAS