DUN Semop Terima Peruntukan Pembangunan RM5.5 Juta, Melibatkan Projek MRP & RTP
SEMOP: Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop menerima peruntukan pembangunan berjumlah kira-kira RM5.5 juta melibatkan sumbangan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) serta pelaksanaan projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP).
Peruntukan tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Datuk Abdullah Saidol menerusi lawatan kerja beliau selama dua hari ke beberapa penempatan di kawasan berkenaan.
Menurut Datuk Abdullah, daripada jumlah keseluruhan, sebanyak RM846,000 dana MRP telah disalurkan kepada 20 penerima dengan RM671,000 diperuntukkan bagi pelaksanaan pelbagai projek kecil kemudahan awam desa, termasuk pembinaan tempat letak kereta, baik pulih jeti, pembinaan dan naik taraf jalan kampung, masjid serta dewan masyarakat.
Selain itu katanya, sebanyak RM175,000 lagi diperuntukkan bagi aktiviti kemasyarakatan dan program sekolah, manakala 18 projek di bawah RTP bernilai RM4.65 juta turut akan mula dilaksanakan pada awal tahun ini bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk luar bandar di DUN Semop.
Beliau turut menekankan kepentingan tadbir urus yang baik di peringkat akar umbi dengan mengingatkan semua kepimpinan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) agar mengurus peruntukan projek kecil desa dengan penuh tanggungjawab, berhemah dan telus.
Mengulas mengenai pembangunan kawasan pedalaman, Datuk Abdullah memberitahu, komitmen kerajaan Sarawak jelas terbukti apabila lebih 60 peratus atau sekitar RM6 bilion peruntukan belanjawan pembangunan ditumpukan ke arah kawasan luar bandar.
“Pembinaan 16 jambatan bernilai lebih daripada RM6 bilion, sama ada telah siap atau sedang dibina juga dilaksanakan di kawasan pesisir luar bandar.
"Semua ini dapat dilakukan apabila pemimpin kita bijak mengurus perancangan pembangunan dan pendapatan negeri.
"Sudah tentu, kestabilan politik dan perpaduan kaum juga merupakan faktor penting,"katanya kepada media pada Khamis.
Tegasnya lagi, pendekatan ini membuktikan pembangunan luar bandar menjadi keutamaan kerajaan Sarawak, selaras dengan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat di kawasan pedalaman.
Lawatan kerja itu merangkumi empat lokasi utama iaitu Tekajong, Sedi, Serdeng dan rumah-rumah panjang di Sungai Sian, dengan kehadiran 20 Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), 20 Tuai Rumah, empat wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), empat persatuan, dua wakil masjid serta penduduk setempat.-EDISI UKAS