Premier Sarawak Hadiri Forum Ekonomi Malaysia 2026
KUALA LUMPUR: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menghadiri Forum Ekonomi Malaysia (FEM) 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini pada Khamis.
Majlis pelancaran forum berkenaan telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam ucapan perasmiannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji kepimpinan Datuk Patinggi Abang Zohari, khususnya dalam menerajui perubahan serta kemajuan dalam bidang teknologi baharu.
“Saya lebih tertarik kerana kehadiran bukan sahaja rakan-rakan menteri, tetapi juga dengan dokongan tokoh-tokoh seperti Premier Sarawak, Abang Johari, yang merupakan satu lagi sosok yang agak ke hadapan dalam memacu perubahan dan peningkatan dalam bidang teknologi baharu,” katanya.
Sementara itu, Menteri Ekonomi Malaysia, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, FEM 2026 merupakan platform utama kerajaan bersama pemegang taruh bagi menetapkan hala tuju ekonomi negara.
Menurut beliau, forum tersebut memberi penekanan kepada pelaksanaan dasar berasaskan bukti yang akan disalurkan secara langsung ke dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, barisan Menteri Kabinet, pemimpin industri serta wakil sektor korporat dan akademik.
Untuk rekod, FEM 2026 merupakan edisi kedua penganjuran Forum Ekonomi Malaysia dan kini diiktiraf sebagai platform utama negara dalam memacu agenda sosioekonomi.
Bertemakan Accelerating Growth, Advancing Malaysia, forum tahun ini memberi tumpuan kepada usaha mempercepat pembangunan negara selaras dengan aspirasi RMK-13 (2026–2030).
FEM 2026 menghimpunkan pemegang taruh bagi membincangkan pelbagai isu strategik termasuk dasar ekonomi, pelaburan, kecerdasan buatan (AI), tenaga lestari, pembangunan bakat, perumahan mampu milik, reformasi kesihatan serta kesiapsiagaan menghadapi populasi menua.
Forum ini dijangka memainkan peranan penting dalam membentuk strategi ekonomi negara bagi memastikan pertumbuhan yang inklusif dan berdaya tahan.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Ameerul Syafiq Khir