Toh Puan Fauziah Tinjau Industri Sulaman Samarahan
KOTA SAMARAHAN: Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi isteri kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak berkenan mengadakan lawatan ke Hikayat Sulaman di sini hari ini bagi meninjau perkembangan industri sulaman tradisional dan moden di negeri ini.
Ketibaan beliau disambut oleh Pengasas dan Pengusaha Hikayat Sulaman Enterprise, Nur Hazilah Mohd Rahim yang turut menyampaikan taklimat mengenai operasi, perkhidmatan serta pembangunan perniagaan sulaman yang diusahakan.
Sepanjang lawatan, Toh Puan Fauziah berpeluang melihat mesin sulam termasuk penghasilan sulaman keringkam serta pelbagai reka bentuk sulaman yang dihasilkan berasaskan gabungan teknik tradisional dan teknologi moden.
Hikayat Sulaman Enterprise merupakan syarikat milikan tunggal yang menyediakan perkhidmatan sulaman khas melibatkan tempahan pakaian tradisional, pakaian korporat, selendang, aksesori serta sulaman keringkam mengikut kehendak pelanggan.
Selain itu, syarikat berkenaan turut menawarkan jualan mesin sulam, perkhidmatan reka bentuk digital serta kelas latihan sulaman mesin kepada individu dan usahawan kecil termasuk kerjasama bersama agensi latihan kemahiran.
Menurut Nur Hazilah, penggunaan teknologi mesin sulam membantu meningkatkan kapasiti pengeluaran tanpa menjejaskan nilai estetika sulaman tradisional khususnya keringkam yang merupakan warisan budaya bernilai tinggi masyarakat Melayu Sarawak.
Lawatan tersebut mencerminkan sokongan berterusan terhadap pembangunan industri kreatif tempatan dalam usaha memartabatkan warisan seni serta memperluas peluang ekonomi kepada komuniti setempat.-EDISI UKAS