Zon Selatan Dominasi Acara Poomsae Taekwondo SUKSAR 2026
BETONG: Dominasi Zon Selatan menjadi tumpuan dalam acara Taekwondo kategori Poomsae Sukan Sarawak IV (SUKSAR) 2026 apabila atletnya berjaya merangkul pingat emas bagi kategori individu lelaki, individu wanita dan beregu campuran pada pertandingan yang berlangsung di Dewan SJK(C) Chung Hua, Betong hari ini.
Dalam kategori Poomsae Individu Lelaki, wakil Zon Selatan, Jason Joan Joshua, muncul juara selepas memperagakan persembahan yang kemas dan konsisten untuk meraih pingat emas, manakala pingat perak dimenangi Rio Lim Tsuan Tzer dari Zon Utara.
Dua pingat gangsa pula menjadi milik Benson Tie Tong Shou dari Zon Tengah serta Aiman Abdullah Azrol, wakil Zon Utara.
Sementara itu, kategori Poomsae Individu Wanita menyaksikan seorang lagi atlet Zon Selatan, Iris Nur Irdina Mohd Yusof, merangkul pingat emas hasil persembahan yang mantap, diikuti Abigail Lawietha Dustin dari Zon Utara yang membawa pulang pingat perak.
Pingat gangsa masing-masing dimenangi Avilla Vianney Tet-Foot, wakil Zon Selatan dan Nur A’een Abdullah dari Zon Utara.
Bagi kategori Poomsae Diiktiraf Beregu Campuran, gandingan Zon Selatan, Jason Joan Joshua dan Iris Nur Irdina Mohd Yusof, sekali lagi mengungguli pertandingan apabila mempamerkan persembahan berkoordinasi tinggi untuk memenangi pingat emas.
Pasangan Zon Utara, Abg Da’im Nurhakimi dan Nur A’een Abdullah, pula meraih pingat perak, manakala dua pingat gangsa menjadi milik gandingan Aiman Abdullah Azrol dan Nur A’een Abdullah dari Zon Utara serta pasangan Allson Lai dan Avilla Vianney Tet-Foot yang mewakili Zon Selatan.
Keseluruhan pertandingan berlangsung dalam suasana meriah dengan kehadiran penyokong serta pegawai pasukan yang memberikan sokongan padu, sekali gus menyemarakkan semangat kesukanan dan menjadi platform penting dalam mencungkil bakat baharu Taekwondo Sarawak di peringkat akar umbi.-EDISI UKAS