Rakyat Kapit Teguh Menyokong Kepimpinan Dato Sri Alexander Nanta Linggi
KAPIT: Rakyat Kapit menzahirkan sokongan padu terhadap Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi menerusi satu perhimpunan solidariti yang berlangsung di Dewan Suarah Kapit, pada Khamis.
Perhimpunan tersebut menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk pemimpin politik, ketua masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta orang awam sebagai tanda sokongan tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan beliau dalam memperjuangkan hak Sarawak.
Antara yang hadir ialah Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Watson Awan Jalai, Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Kapit yang juga Pengerusi Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Kapit, Martin Bilun, Pemanca Pasang Tubak, Pemanca Wong Kie Ing, Penghulu James Sandak, Penghulu Jenny Yu Si Geok, Penghulu Sia Shui Poh, Kapitan Ling Hang Pin serta barisan pemimpin NGO tempatan.
Jurucakap perhimpunan, Martin Bilun berkata, rakyat Kapit berdiri teguh di belakang kenyataan terkini Dato Sri Alexander yang disifatkan mencerminkan kebimbangan rakyat Sarawak terhadap kedudukan serta hak negeri ini dalam Persekutuan Malaysia.
“Kami mengecam kenyataan Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari yang menggesa Dato Sri Alexander Nanta Linggi meletakkan jawatan daripada Kabinet Persekutuan.
"Kenyataan tersebut dilihat sebagai cubaan untuk menyenyapkan suara pemimpin Sarawak yang memperjuangkan hak negeri ini,” katanya ketika membacakan kenyataan solidariti.
Beliau menegaskan bahawa kenyataan tegas Dato Sri Alexander adalah cerminan kebimbangan rakyat Sarawak terhadap tindakan pihak tertentu di Semenanjung Malaysia yang sering mencabar hak Sarawak, termasuk dalam isu politik, kaum dan agama.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa rakyat Sarawak akan terus berdiri teguh menyokong kepimpinan Dato Sri Alexander serta Premier Sarawak dalam mempertahankan hak Sarawak selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962 serta Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Sarawak.
Beliau turut menambah, rakyat Sarawak mahukan sebuah Malaysia yang aman, harmoni dan makmur, di mana masyarakat berbilang kaum dapat hidup bersatu padu tanpa dipengaruhi perbalahan politik serta kenyataan berunsur perkauman dan keagamaan.
Sementara itu, Penghulu James Sandak berkata kehadiran pemimpin parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) khasnya Parti Rakyat Sarawak (PRS), ketua masyarakat serta pemimpin NGO membuktikan sokongan padu rakyat Kapit terhadap kepimpinan Nanta dan Premier Sarawak.
“Kami hadir hari ini untuk menunjukkan bahawa kami adalah tulang belakang kepada pemimpin kami. Kami menolak perbalahan politik berterusan yang hanya menguntungkan kepentingan peribadi,” katanya.
Perhimpunan tersebut mencerminkan kesepaduan masyarakat Kapit dalam mempertahankan kepimpinan tempatan serta komitmen berterusan untuk memastikan hak dan kepentingan Sarawak terus dipelihara.-EDISI UKAS