Curtin Malaysia, IMM Perluas Jalinan Industri–Akademia
MIRI: Curtin University Malaysia (Curtin Malaysia) bersama Institute of Marketing Malaysia (IMM) terus memantapkan jalinan strategik industri–akademia bagi memastikan keselarasan antara pembangunan akademik dan keperluan pasaran semasa, menerusi satu kunjungan hormat ke atas Pengerusi Eksekutif Kumpulan Syarikat Miri Housing, Dato Lau Siu Wai.
Kunjungan pada Rabu diadakan susulan penganjuran seminar pemasaran sehari bertajuk “Customer Retention and Expansion: Your Most Profitable Growth Strategy” yang dianjurkan bersama oleh Fakulti Perniagaan Curtin Malaysia dan IMM pada 29 Januari lalu, yang menghimpunkan seramai 50 peserta terdiri daripada ahli akademik, pengamal industri serta profesional pemasaran dari pelbagai sektor.
Delegasi Curtin Malaysia diketuai oleh Profesor Vincent Lee, Pro Naib Canselor, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, dengan penyertaan Profesor Pauline Ho selaku Dekan Fakulti Perniagaan, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pembangunan), Dr Tiong Ying Ying, Timbalan Dekan (Penglibatan Luaran) Dr Ivy Hii serta Profesor Goi Chai Lee.
Dalam pada itu, delegasi IMM pula diketuai oleh Presidennya, Dato Sharifah Mohd. Ismail, bersama penceramah antarabangsa seminar tersebut, Ruth P. Stevens.
Perbincangan semasa kunjungan tersebut memberi tumpuan kepada kepentingan kolaborasi tiga hala melibatkan institusi pengajian tinggi, industri dan badan profesional dalam membangunkan platform perkongsian ilmu yang relevan, berimpak tinggi serta berpaksikan realiti pasaran.
Pelbagai potensi kerjasama turut diteroka termasuk pertukaran kepakaran, pembangunan program berorientasikan industri, serta inisiatif yang mampu menyampaikan pandangan praktikal kepada komuniti perniagaan dan profesional pemasaran di peringkat serantau.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan Curtin Malaysia untuk merapatkan jurang antara teori dan amalan, memperkayakan pengalaman pembelajaran pelajar, meningkatkan kebolehpasaran graduan serta menyumbang kepada pembangunan profesion pemasaran dan ekosistem ekonomi Sarawak secara menyeluruh.-EDISI UKAS