BAU: Seorang kanak-kanak lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) autisme berusia tujuh tahun yang dilaporkan hilang di Kampung Tembawang Sauh semalam, berjaya ditemui dalam keadaan selamat hasil operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersepadu.
Adik Kelvin Martin Beger, dilaporkan hilang kira-kira jam 1.30 petang semalam sebelum gerakan SAR digerakkan segera melibatkan 63 anggota daripada pelbagai agensi.
Operasi tersebut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), dengan dibantu penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang, turut mengadakan lawatan ke Bilik Gerakan SAR di kampung berkenaan hari ini bagi meninjau sendiri perkembangan operasi.
Beliau berkata, usaha gigih pasukan penyelamat dan kerjasama erat komuniti akhirnya membuahkan hasil apabila mangsa ditemui sekitar jam 2.30 petang tadi di kawasan hutan berhampiran belakang rumahnya.
“Mangsa ditemui dalam keadaan selamat dan sihat sebelum dibawa ke Hospital Bau untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.
Turut hadir semasa lawatan itu ialah Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A. Rahman, Ketua Kaum Kampung Tembawang Baru, KK Umar Ibrahim dan Ketua Kaum Kampung Jugan, KK Ponisa Nyuyam.
Billy turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi terlibat serta penduduk kampung yang berganding bahu sepanjang operasi berlangsung.-EDISI UKAS