RM2.23 Juta Diperuntukkan bagi Pelaksanaan Projek RTP dan PMR 2026 di Simunjan
SIMUNJAN: Sebanyak RM2.23 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Projek Mesra Rakyat (PMR) Tahun 2026 yang melibatkan beberapa kampung di kawasan Simunjan.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak tujuh projek RTP ADUN 2026 dirancang dengan peruntukan keseluruhan RM1.78 juta, manakala satu projek RTP Ahli Parlimen Batang Sadong melibatkan peruntukan RM150,000.
Selain itu, satu projek di bawah Program PMR Ahli Parlimen Batang Sadong turut dirancang dengan nilai RM300,000.
Menurut Pegawai Daerah Simunjan Sanuyah Mohamad, kesemua projek tersebut akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Samarahan selaku agensi pelaksana dengan kerjasama erat daripada agensi teknikal dan pentadbiran berkaitan.
Beliau berkata demikian semasa lawatan tapak kek beberapa lokasi di sini, bagi pelaksanaan RTP dan PMR 2026 yang melibatkan pelbagai agensi pelaksana dan teknikal, pada Khamis.
Lawatan tapak tersebut bertujuan meneliti cadangan projek, membuat persediaan awal penyediaan Bill of Quantities (BQ), mengenal pasti lokasi tapak serta menyelaras skop pelaksanaan bagi memastikan projek berjalan lancar dan menepati keperluan setempat.
Sanuyah turut memaklumkan bahawa satu lagi lawatan tapak akan diadakan pada minggu hadapan yang melibatkan agensi pelaksana daripada Majlis Daerah Simunjan (MDS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID).
Pelaksanaan projek-projek ini dijangka dapat meningkatkan kemudahan infrastruktur, memperkukuh kesejahteraan penduduk luar bandar serta menyokong agenda pembangunan luar bandar secara mampan.
Turut hadir dalam lawatan tapak tersebut ialah Pegawai Tadbir Pejabat Residen Bahagian Samarahan Norazizah Ramali@Bujang, Pegawai Daerah Simunjan Sanuyah Mohamad, Penolong Jurutera Pejabat Residen Bahagian Samarahan Brenda Mau David, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Simunjan Samantha Claire Daniel, Pegawai Khas kepada ADUN Simunjan Rafendy Ariffen, wakil dari Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Batang Sadong serta ketua-ketua kaum dari kampung yang terlibat.-EDISI UKAS