Latihan & Pertandingan Berterusan, Perkasa Bakat Atlet Sarawak
BETONG: Atlet Sarawak akan terus diberikan pendedahan latihan dan pertandingan secara konsisten sebagai langkah memastikan pembangunan bakat sukan negeri kekal berterusan.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, pendekatan tersebut diambil meskipun terdapat beberapa acara yang tidak dipertandingkan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026.
Menurut beliau, Sarawak kekal menganjurkan dan mempertandingkan acara-acara tersebut dalam temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026 bagi memastikan atlet yang terlibat dapat meneruskan latihan secara berfasa dan tidak terhenti begitu sahaja.
“Sebagai contoh, acara taekwondo pada SUKMA Selangor nanti tidak mempertandingkan kategori poomsae. Namun begitu, acara tersebut tetap diadakan di sini bagi memastikan atlet-atlet yang terlibat dapat meneruskan latihan secara konsisten dan tidak terhenti begitu sahaja. Begitu juga dengan beberapa acara lain yang dipertandingkan di sini walaupun tidak disenaraikan dalam SUKMA Selangor.
“Bagi atlet-atlet baharu pula, kejohanan ini menjadi platform pertama untuk mereka merasai pengalaman bertanding menentang zon-zon lain. Pendedahan ini bukan sahaja meningkatkan keyakinan diri, malah membantu mengenal pasti potensi atlet yang boleh dibangunkan dan diangkat ke tahap yang lebih tinggi.
“Sehubungan itu, pihak kementerian sentiasa menggalakkan penganjuran pelbagai kejohanan, bermula di peringkat domestik dan wilayah, seterusnya membuka laluan kepada penyertaan di peringkat antarabangsa,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) selepas menyaksikan perlawanan Taekwondo, di sini pada Khamis.
Beliau yang juga Pengerusi SUKSAR IV 2026 turut menyeru persatuan-persatuan sukan di Sarawak untuk terus aktif membimbing atlet di bawah naungan mereka supaya negeri ini sentiasa mempunyai pelapis untuk membawa nama Bumi Kenyalang ke persada yang lebih tinggi.
Dalam perkembangan lain, Datuk Gerald turut menyatakan kepuasan penganjuran SUKSAR IV 2026 setakat hari ini, yang mana menurut beliau masih belum menerima sebarang laporan masalah termasuk penganjuran di Sri Aman.
Sehubungan itu, beliau menyeru kepada atlet untuk memanfaatkan sepenuhnya kesempatan dan peluang ini supaya mereka menjadi atlet yang berjaya pada masa hadapan.
“Buatlah yang terbaik kerana kalah atau menang itu memang adat pertandingan namun kalau kita buat yang terbaik, kita akan menjadikan ini sebagai pengalaman untuk menjadikan diri kita sebagai seorang atlet yang lebih baik pada masa hadapan,” katanya lagi. -EDISI UKAS