Zon Barat Dominasi Acara Berbasikal, Hadiahkan Dua Emas
BETONG: Aksi bertenaga Kem Berbasikal Zon Barat menghadiahkan permulaan manis buat kontinjen tuan rumah apabila dua pingat emas pertama berjaya dikutip pada hari pembukaan acara berbasikal Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026.
Kejayaan bermula dalam acara Perlumbaan Berbasikal Lebuhraya Kategori Wanita apabila Nur Ain Ramadhania Abdullah tampil cemerlang menewaskan lapan pelumba lain untuk muncul juara selepas menamatkan perlumbaan sejauh 105 kilometer dengan catatan masa 3 jam 47 minit 31 saat, sekali gus mencatat purata kelajuan 27.7 kilometer sejam.
Pingat perak menjadi milik atlet Zon Utara, Nurfara Ain Nabiela Abdullah Hafiz yang menamatkan perlumbaan dengan masa 3 jam 48 minit 20 saat hanya 49 saat di belakang pemenang.
Sementara itu, pingat gangsa diraih oleh wakil Zon Selatan, Dayang Nurdanisha Qistina Awang Heriwan selepas mencatat masa 3 jam 50 minit 21 saat.
Dominasi Zon Barat diteruskan dalam kategori berkumpulan apabila pasukan berkenaan mencatat masa terbaik untuk mengesahkan pingat emas kedua, sekali gus mengukuhkan kedudukan awal kontinjen tuan rumah dalam carta kutipan pingat.
Bagaimanapun, tiada pingat perak dan gangsa dianugerahkan bagi kategori berkumpulan berikutan syarat pertandingan yang menetapkan sekurang-kurangnya tiga orang pengayuh perlu menamatkan perlumbaan bagi melayakkan sesuatu zon ke kedudukan podium.
Pencapaian tersebut dilihat sebagai suntikan semangat penting buat kontinjen tuan rumah dalam mengharungi saingan seterusnya sepanjang temasya SUKSAR IV 2026 yang sedang berlangsung.-EDISI UKAS