‘All Out’ Jika Diberi Peluang Wakili Sarawak – Kenny
BETONG: Pemenang pingat emas acara Perlumbaan Berbasikal Lebuhraya Kategori Lelaki, Kenny Lim Zhen Xiang, menegaskan kesediaannya untuk memberikan komitmen sepenuhnya sekiranya diberi peluang mewakili Sarawak pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor tahun ini.
Menurut Kenny, edisi SUKMA kali ini merupakan peluang terakhir buat dirinya untuk menyarung jersi Sarawak, sekali gus menjadi pendorong utama untuk beliau beraksi dengan sepenuh kemampuan.
“Tahun ini adalah peluang terakhir saya. Saya akan cuba memberikan yang terbaik dan sekiranya terpilih menyertai SUKMA, saya akan beraksi secara ‘all out’,” katanya ketika ditemui selepas menamatkan perlumbaan sejauh 116 kilometer di sini, pada Khamis.
Mengulas perlumbaan tersebut, Kenny mengakui laluan berbatu serta berbukit menjadi antara cabaran utama, namun hasil latihan berterusan dan persiapan rapi membolehkannya mengatasi segala rintangan untuk muncul sebagai pemenang.
Beliau menjuarai perlumbaan yang disertai 21 pelumba dengan catatan masa 3 jam 16 minit 45 saat, mencatat purata kelajuan 35.4 kilometer sejam, sekali gus menghadiahkan pingat emas kepada Zon Selatan.
Dominasi Zon Selatan diteruskan apabila rakan sepasukan, Ong Wei Jie, menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan masa 3 jam 23 minit 07 saat, ketinggalan 6 minit 22 saat di belakang Kenny.
Sementara itu, Ryan Ting Ze Xiang dari Zon Utara meraih pingat gangsa dengan catatan 3 jam 23 minit 14 saat.
Prestasi konsisten barisan pelumba Zon Selatan turut membuahkan hasil apabila mereka muncul juara acara berkumpulan, manakala Zon Utara dan Zon Tengah masing-masing berpuas hati dengan pingat perak dan gangsa. -EDISI UKAS