AirBorneo, ATR Meterai Perkongsian Strategik, Modenkan Armada RAS
SINGAPURA: Syarikat penerbangan milik Kerajaan Sarawak, AirBorneo memeterai perkongsian strategik bersama pengeluar pesawat, ATR, bagi memodenkan armada Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) Malaysia.
Majlis menandatangani perjanjian tersebut disaksikan oleh Pengerusi AirBorneo Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta Ketua Pegawai Eksekutif ATR Nathalie Tarnaud Laude.
Turut hadir ialah barisan Ahli-Ahli Lembaga Pengarah AirBorneo iaitu Dato Sri Wan Lizozman Wan Omar, Dato Sri Saferi Ali, Dato Sri Abdullah Zaidell, Datu Hasmawati Sapawi serta pasukan pengurusan AirBorneo.
Menerusi perjanjian tersebut, AirBorneo mengesahkan pesanan muktamad lapan buah pesawat ATR, merangkumi lima ATR 72-600 dan tiga ATR 42-600 dengan hak pembelian bagi empat pesawat tambahan yang mana penghantaran pesawat dijadualkan bermula antara tahun 2027 hingga 2029.
Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo Megat Ardian berkata, kerjasama strategik bersama ATR merupakan satu pencapaian utama dalam komitmen syarikat untuk menyediakan perkhidmatan udara yang selamat, moden dan boleh dipercayai kepada komuniti yang bergantung kepada RAS.
Menurutnya, armada ATR-600 yang baharu akan memperkukuh rangkaian RAS dengan ketara dengan menawarkan keselesaan yang lebih baik, kecekapan yang lebih tinggi dan keupayaan operasi yang diperlukan untuk ketersambungan serantau di Malaysia Timur.
“Platform ATR secara konsisten terbukti sebagai pesawat yang paling sesuai untuk persekitaran operasi kami dan penaiktarafan kepada siri –600 terkini, memastikan kami dapat terus menyediakan sambungan penting sambil menyediakan AirBorneo untuk pertumbuhan jangka panjang,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ATR Nathalie Tarnaud Laude berkata, keputusan AirBorneo melabur dalam kedua-dua ATR 72-600 dan ATR 42-600 mencerminkan kekuatan serta fleksibiliti keluarga ATR yang sesuai untuk operasi serantau yang mencabar.
"ATR 42-600, dengan kecekapannya yang luar biasa dan kos operasi yang rendah, sangat sesuai untuk melayani laluan serantau berkepadatan rendah, sementara ATR 72-600 menyediakan kapasiti tambahan di tempat yang diperlukan.
“Kami berbangga untuk bekerjasama dengan AirBorneo dalam memperkukuh ketersambungan udara yang boleh dipercayai di seluruh Borneo dan rantau yang lebih luas,” ujarnya.
Perjanjian itu menandakan pencapaian penting dalam transformasi AirBorneo menjadi syarikat penerbangan milik kerajaan Sarawak dan tanggungjawabnya terhadap rangkaian RAS iaitu perkhidmatan awam penting yang menghubungkan komuniti terpencil dan kurang mendapat perkhidmatan di seluruh Sarawak, Sabah dan Labuan.
Dimuktamadkan pada akhir tahun 2025, pesanan ini menyokong strategi pembaharuan armada jangka panjang AirBorneo susulan pengambilalihan MASwings oleh kerajaan Sarawak pada tahun 2025 dan penjenamaan semula kepada AirBorneo.
AirBorneo kini mengendalikan lapan pesawat ATR 72-500 yang diwarisi daripada MASwings, dengan pesawat generasi baharu ATR siri –600 bakal menjadi tunjang kepada operasi RAS yang lebih selamat, cekap dan berdaya tahan di Malaysia Timur.
Pengenalan pesawat ATR 42-600 dan ATR 72-600 dijangka meningkatkan pengalaman penumpang, kebolehpercayaan operasi serta keupayaan perkhidmatan.
Pesawat tersebut dilengkapi sistem avionik canggih, teknologi navigasi moden serta keselesaan kabin yang lebih baik, selain berkeupayaan menyokong operasi pengangkutan perubatan termasuk penggunaan pengusung pesakit merentasi pelbagai persekitaran laluan serantau dan luar bandar di Borneo.
Penggunaan armada campuran itu turut memberikan fleksibiliti kepada AirBorneo untuk menyesuaikan kapasiti mengikut profil laluan, di samping memanfaatkan tahap keseragaman tinggi dalam keluarga pesawat ATR.
Hak pembelian tambahan yang disertakan juga membuka peluang pengembangan rangkaian pada masa hadapan, termasuk potensi peluasan ke rantau Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).-EDISI UKAS