Sarawak Bawa Isu Industri Lori Ke Peringkat Persekutuan
KUCHING: Kerajaan Sarawak akan mengemukakan pandangan rasmi kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia bagi mengetengahkan cabaran serta realiti operasi industri lori di negeri ini, khususnya berkaitan pelaksanaan dasar pengangkutan persekutuan yang memerlukan pendekatan lebih fleksibel dan bersesuaian dengan konteks tempatan
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata beliau juga akan memohon satu pertemuan rasmi dengan Menteri Pengangkutan Malaysia bagi membincangkan secara langsung isu-isu berbangkit demi kepentingan industri lori di Sarawak.
Menurut beliau, langkah tersebut penting bagi memastikan keunikan geografi, keluasan negeri serta keperluan logistik Sarawak diambil kira dalam pelaksanaan dasar persekutuan, khususnya yang melibatkan kenderaan komersial.
“Industri lori di Sarawak kini berdepan tekanan pematuhan yang semakin meningkat dan memerlukan pendekatan pelaksanaan yang lebih praktikal serta bersesuaian dengan keadaan di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media pada Khamis ketika mempengerusikan Sesi Libat Urus Pemegang Taruh Pengangkutan Lori, yang menghimpunkan agensi kerajaan dan wakil industri bagi membincangkan isu kawal selia serta operasi sektor kenderaan komersial di Sarawak.
“Industri lori di Sarawak kini berdepan tekanan pematuhan yang semakin meningkat dan memerlukan pendekatan pelaksanaan yang lebih praktikal serta realistik, selari dengan keadaan dan keupayaan sebenar di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Sesi Libat Urus Pemegang Taruh Pengangkutan Lori yang menghimpunkan agensi kerajaan serta wakil industri bagi membincangkan isu kawal selia dan operasi sektor kenderaan komersial di Sarawak.
Antara perkara utama yang dibincangkan dalam sesi tersebut ialah pelaksanaan berperingkat Speed Limiter Device (SLD), keperluan pemasangan Sistem Kedudukan Global (GPS) serta isu penguatkuasaan berkaitan Perintah Sekatan Berat (Weight Restriction Order, WRO).
Dalam sesi itu, pengusaha lori memaklumkan bahawa ketika ini hanya empat ejen pemasangan SLD yang diberi kuasa beroperasi di Sarawak, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keupayaan menampung keperluan sejumlah besar kenderaan komersial di seluruh negeri dalam tempoh masa yang ditetapkan.
Mereka turut menyuarakan kebimbangan bahawa bilangan ejen yang terhad berpotensi menyebabkan pilihan perkhidmatan yang terbatas serta peningkatan kos pematuhan, sekali gus memberi kesan kepada kelangsungan operasi industri.
Mengulas perkara tersebut, Dato Sri Lee berkata beliau memahami kebimbangan yang dibangkitkan dan bersetuju bahawa Sarawak memerlukan pendekatan pelaksanaan yang lebih fleksibel dan bersesuaian dengan realiti operasi industri lori di negeri ini.
Menurut beliau, bilangan ejen pemasangan SLD wajar ditambah dan diagihkan secara lebih menyeluruh di seluruh bahagian di Sarawak bagi memastikan pelaksanaan dapat dijalankan dengan lebih lancar, berkesan dan tidak membebankan pemain industri.
Beliau turut memaklumkan bahawa usaha untuk mengatur pertemuan dengan Menteri Pengangkutan Malaysia telah dimulakan sejak bulan lalu, namun kekangan jadual menyebabkan pertemuan tersebut masih belum dapat direalisasikan.
Selain itu, sesi libat urus berkenaan turut menyentuh isu had muatan lori serta keupayaan infrastruktur jalan raya. Dato Sri Lee menyambut baik kerjasama berterusan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) Sarawak serta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sarawak berkaitan pengelasan jalan.
Beliau berkata antara cadangan yang dibincangkan termasuk melibatkan jalan R5 serta keperluan penaiktarafan atau pengelasan semula di bawah Senarai 1 bagi memastikan piawaian infrastruktur jalan raya selaras dengan keperluan operasi kenderaan komersial dan keperluan penguatkuasaan.
Sesi libat urus tersebut turut dihadiri wakil Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sarawak, PUSPAKOM Sarawak Sdn Bhd, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta persatuan industri berkaitan.-EDISI UKAS