Sarawak Perkukuh Strategi Pasaran India Sebagai Pintu Masuk Ke Borneo
MUMBAI: Sarawak memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pintu masuk ke Borneo dengan menumpukan pasaran India sebagai sumber pelancong berpotensi tinggi, selaras dengan sasaran nasional menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) memulakan penyertaan dengan jayanya dalam Outbound Travel Mart (OTM) 2026, pameran perdagangan pelancongan terkemuka India yang berlangsung di Pusat Konvensyen Jio World di sini.
STB dalam satu kenyataan media pada Khamis memberitahu, Sarawak menegaskan komitmen strategiknya terhadap pasaran India yang dikenal pasti sebagai pasaran pertumbuhan keutamaan bagi menyokong aspirasi Malaysia menerima 43 juta pelawat antarabangsa, termasuk sasaran dua juta ketibaan dari India di bawah VM2026.
Seiring peningkatan minat pasaran, termasuk lonjakan permintaan sebanyak lapan peratus dari India, Sarawak memposisikan diri untuk menyumbang secara bermakna terhadap matlamat nasional menerusi pertumbuhan pelancongan yang mampan, berkualiti dan bernilai tinggi.
Delegasi Sarawak diketuai oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bersama Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting, Pengerusi STB, Dato Dennis Ngau serta Ketua Pegawai Eksekutif STB, Dr Sharzede Salleh Askor.
Kehadiran kepimpinan tertinggi ini mencerminkan kesungguhan Sarawak dalam memperkukuh libat urus peringkat tinggi bersama pemain industri pelancongan India, sekali gus meningkatkan keyakinan pasaran jangka panjang terhadap Sarawak sebagai destinasi pilihan.
Menonjolkan peranan kepimpinan Sarawak di peringkat antarabangsa, Dato Sri Abdul Karim turut menyampaikan ucapan sebagai ahli panel semasa Sesi Perasmian OTM 2026, yang mencerminkan kesiapsiagaan Sarawak dalam memenuhi permintaan pelancongan keluar negara dari India yang kian berkembang.
Sementara itu, Dr Sharzede terlibat sebagai ahli panel jemputan dalam Forum OTM bertajuk “Beyond the Usual: Mapping Where Indian Travellers Will Go Next”, berkongsi pandangan mengenai tahap kesiapsiagaan destinasi Sarawak serta strategi pembangunan produk bagi memenuhi keperluan gelombang baharu pelancong India.
Dalam OTM 2026, Sarawak dipromosikan sebagai destinasi berasaskan pengalaman dengan menampilkan teras pelancongan utama meliputi Budaya, Pengembaraan, Alam Semula Jadi, Makanan dan Festival (CANFF).
Penekanan diberikan kepada pengalaman imersif berteraskan alam semula jadi serta warisan budaya yang kaya, sejajar dengan kecenderungan pasaran India.
Antara tarikan utama yang diketengahkan termasuk Taman Negara Gunung Mulu dan Taman Negara Niah yang tersenarai sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, sekali gus mengukuhkan imej Sarawak sebagai destinasi alam semula jadi bertaraf dunia.
Sebelum pembukaan rasmi OTM 2026, delegasi Sarawak yang diketuai Dato Sri Abdul Karim turut mengadakan kunjungan hormat ke Konsulat Jeneral Malaysia di Mumbai bagi bertemu Konsul Jeneral Malaysia, Ahmad Zuwairi Yusoff.
Lawatan tersebut diteruskan dengan misi kerjasama akademik ke Universiti Somaiya Vidyavihar bersama Kampus Sarawak Universiti UCSI bagi mempromosikan pelancongan pendidikan yang dikenal pasti sebagai segmen khusus berpotensi tinggi dalam pasaran India.
Kerjasama ini bertujuan mewujudkan penanda aras akademik dalam bidang hospitaliti, pelancongan dan seni kulinari melalui pertukaran pensyarah dan pelajar serta penyelidikan bersama, sekali gus menyokong pembangunan bakat dan ekosistem pelancongan jangka panjang.
Secara keseluruhan, OTM 2026 berfungsi sebagai platform strategik untuk meningkatkan keterlihatan Sarawak di pasaran India, mengukuhkan hubungan perdagangan pelancongan serta memperteguh kedudukannya sebagai pintu masuk Malaysia berteraskan alam semula jadi ke Borneo.-EDISI UKAS