Golden Hill Villa, Treetops Di Bintulu Disasar Siap Berperingkat
BINTULU: Dua projek perumahan bermasalah di Bintulu, melibatkan Golden Hill Villa 2 dan Treetops, kini menunjukkan perkembangan positif apabila pelbagai langkah pemulihan dilaksanakan bagi melindungi kepentingan pembeli.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, kerajaan negeri komited memastikan kedua-dua projek berkenaan dipantau secara berterusan sehingga disiapkan sepenuhnya.
Menurut beliau, projek Lot 1713 (Golden Hill Villa 2) yang dibangunkan oleh Homemas Development (Bintulu) Sdn Bhd telah tertangguh sejak 2014 akibat isu tembok penahan dan pertikaian tanah dengan pemilik bersebelahan, sekali gus menghalang pengeluaran Permit Menduduki (OP).
“Bagi menangani masalah ini, kementerian menyokong cadangan kontraktor penyelamat, Anna Synergy Berhad, yang mengambil alih projek tersebut sejak Ogos 2025,” katanya ketika ditemui media semasa sesi lawatan tapak bagi projek perumahan swasta bermasalah di sini pada Khamis.
Tambahnya lagi, projek Golden Hill Villa 2 akan dilaksanakan secara dua fasa, iaitu Fasa 1 bagi unit yang tidak terjejas dengan pertikaian tanah dan Fasa 2 bagi unit yang terlibat dengan isu sempadan.
Menurutnya, pelaksanaan secara berperingkat itu bertujuan mempercepatkan pengeluaran Sijil Jalan dan OP supaya pembeli dapat berpindah masuk lebih awal.
Sementara itu, Datuk Michael berkata projek Treetops yang dibangunkan oleh Twin Revenue Sdn Bhd melibatkan pembinaan 585 unit pangsapuri perkhidmatan di Menara A, B dan C, turut mengalami kelewatan sejak 2021.
Katanya, kelewatan projek itu berpunca daripada pembinaan pencawang elektrik Sarawak Energy Berhad (SEB) yang memerlukan kerja pemecahan bukit batu berskala besar, selain kesan pandemik COVID-19 dan kekurangan tenaga kerja.
“Kerja-kerja struktur utama telah disiapkan, dan kini tumpuan diberikan kepada kerja kemasan seperti pendawaian dalaman, mengecat dan pemasangan kelengkapan,” katanya.
Menurut beliau, kementerian turut melaksanakan pelbagai tindakan penguatkuasaan dan intervensi termasuk mengadakan mesyuarat pemantauan, mengeluarkan kompaun serta menilai semula permit iklan dan jualan bagi memastikan pemaju mematuhi pelan pemulihan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang kelewatan projek perumahan yang menjejaskan kepentingan rakyat.
“Kepentingan pembeli rumah sentiasa menjadi keutamaan. Kita menuntut komitmen yang jelas, pelan tindakan realistik dan pelaksanaan yang berdisiplin daripada pihak pemaju,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa kementerian akan terus memantau kedua-dua projek berkenaan bagi memastikan ia dilaksanakan secara telus, adil dan mengikut peraturan.
“Kita menjangkakan kedua-dua projek ini dapat disiapkan secara berperingkat dalam tempoh dua hingga tiga tahun, tertakluk kepada pematuhan pelan kerja yang diluluskan,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan Sarawak akan terus berdiri bersama pembeli rumah dan memastikan semua saluran perundangan serta penguatkuasaan digunakan sepenuhnya demi melindungi kepentingan rakyat. -EDISI UKAS