28 Graduan Raih Diploma Pada Majlis Konvokesyen Curtin Malaysia 2026
MIRI: Curtin University Malaysia meraikan kejayaan 28 graduan dalam Majlis Konvokesyen Diploma 2026 yang berlangsung di The Auditorium, Curtin Malaysia di sini, pagi Jumaat.
Majlis tersebut diserikan kehadiran Pro-Canselor Curtin Malaysia, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam, Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Curtin Malaysia, Dato Sri Lee Kim Shin serta barisan pengurusan kanan universiti.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Curtin University Malaysia, Profesor Vincent Lee Chieng Chen dalam ucapannya berkata majlis itu menandakan permulaan peluang dan tanggungjawab baharu buat para graduan.
Beliau menegaskan diploma Curtin bukan sekadar kelayakan akademik, sebaliknya asas kukuh yang dibina melalui ketekunan dan daya tahan, selain melahirkan graduan yang bersedia menyumbang secara positif kepada masyarakat dan industri.
Sementara itu, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. George Chan berkata pencapaian graduan melambangkan komitmen tinggi dalam membina masa depan, dengan program diploma Curtin direka bagi menyediakan kemahiran relevan industri serta laluan jelas ke peringkat ijazah.
Seramai 28 graduan menerima diploma masing-masing terdiri daripada 13 graduan Diploma of Commerce, empat Diploma of Information Technology dan 11 Diploma of Media Studies.
Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Graduan Terbaik PMG yang ditaja oleh PMG Healthcare Group kepada Chloe Hii Jing Yie, Sim Zhi Hao dan Meghan Gituen Lim mengikut kategori program.-EDISI UKAS