Kemudahan Pickleball Baharu Perkasa Pembangunan Sukan Sekolah
SIBU: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist kini dilengkapi dengan tiga gelanggang pickleball, sekali gus menjadikannya sekolah ketiga di Sibu yang mempunyai kemudahan sukan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Chieng Jin Ek berkata, pembinaan gelanggang tersebut melibatkan kos berjumlah RM82,000 dan ditaja sepenuhnya oleh Persatuan Alumni Sekolah Methodist Sibu (SMSAA) sebagai tanda sokongan berterusan terhadap pembangunan sekolah.
Menurut beliau, sumbangan itu bukan sahaja menyediakan prasarana sukan kepada pelajar, malah merupakan pelaburan jangka panjang terhadap kesejahteraan fizikal, pembentukan sahsiah serta pembangunan potensi pelajar.
“Projek bermakna ini mencerminkan komitmen bersama dalam pembangunan belia, pengamalan gaya hidup sihat serta pemerkasaan sukan dalam komuniti sekolah,” katanya ketika berucap semasa Majlis Perasmian Penggunaan Tiga Gelanggang Pickleball SMK Methodist, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Presiden Persatuan Alumni Sekolah Methodist Sibu menambah, pencapaian tersebut turut mengukuhkan kedudukan Sibu sebagai antara bandar peneraju dalam pembangunan sukan pickleball di Sarawak.
Mengulas perkembangan sukan berkenaan, Chieng berkata pickleball merupakan antara sukan yang berkembang pesat sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana sifatnya yang inklusif, menarik serta sesuai untuk pelajar daripada pelbagai peringkat umur dan tahap kemahiran.
Sehubungan itu, beliau berharap kemudahan yang disediakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya, diselenggara dengan baik serta dijadikan platform untuk melahirkan atlet masa depan, di samping mewujudkan persekitaran sekolah yang sihat dan aktif.- EDISI UKAS