Menara AFFIN Jadi 'Enjin' Lonjakan Kewangan Sarawak, Sokong Aspirasi Ekonomi Sarawak
KUALA LUMPUR: Perasmian Menara AFFIN di Tun Razak Exchange (TRX) hari ini menandakan satu langkah strategik Sarawak dalam memperkukuh keupayaan institusi kewangan tempatan untuk beroperasi secara lebih pantas, bersepadu dan berdaya saing dalam persekitaran ekonomi global yang semakin mencabar.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menegaskan bahawa sesebuah ibu pejabat korporat tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai alamat operasi, sebaliknya berperanan sebagai 'enjin' pelaksanaan strategik yang menentukan piawaian tadbir urus, kecekapan dalaman serta keupayaan institusi untuk menyesuaikan diri dengan perubahan berkelajuan tinggi.
Menurut beliau, landskap semasa menuntut institusi kewangan beralih daripada penambahbaikan secara berperingkat kepada lonjakan keupayaan yang lebih ketara merangkumi sistem yang dipertingkat, proses membuat keputusan yang lebih pantas serta pelaksanaan yang lebih berdisiplin.
"Maka persoalannya bukan lagi sama ada kita sedang bergerak ke hadapan atau tidak, sebaliknya sama ada kita bergerak cukup pantas dan sama ada kita sedang membina keupayaan yang membolehkan kita melangkah dengan penuh keyakinan.
"Ini kerana dalam dunia yang berkelajuan tinggi, penambahbaikan secara berperingkat tidak lagi mencukupi untuk merapatkan jurang. Apa yang diperlukan ialah lonjakan keupayaan sistem yang dipertingkat, pelaksanaan yang lebih mantap serta kesiapsiagaan untuk melonjak ke hadapan apabila keadaan menuntutnya," katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Menara AFFIN di TRX, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Premier Sarawak menambah Menara AFFIN di TRX juga dilihat selari dengan usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab kewangan serantau, khususnya dalam menarik pelaburan, menghimpunkan bakat serta mempercepatkan pembuatan keputusan kewangan di peringkat nasional dan serantau.
Dalam konteks Sarawak, beliau menegaskan bahawa kehadiran institusi negeri di ekosistem kewangan utama negara adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang berasaskan tujuan, mampan dan inklusif.
"Lembaga Dana Masa Depan Kekayaan Berdaulat Sarawak telah menubuhkan pejabatnya di Kuala Lumpur di menara ini sebagai satu langkah awal dan kami menantikan lebih banyak lagi institusi Sarawak untuk bertapak di sini pada masa akan datang.
"Ini mencerminkan keyakinan terhadap kawasan ini serta keyakinan bahawa aspirasi Sarawak sememangnya berada di pentas nasional dan serantau," jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Premier Sarawak turut menyambut baik pengiktirafan pasaran terhadap kemajuan AFFIN, termasuk pengekalan penarafan kredit antarabangsa A3 oleh Moody’s Ratings serta kejayaan penerbitan sulung bon dolar Amerika Syarikat bernilai AS$300 juta.
"Pencapaian ini mengangkat kedudukan AFFIN dan memberikan kesan positif kepada ekosistem yang lebih luas, termasuk perniagaan di Sarawak yang menghargai rakan kewangan yang kukuh ketika mereka berkembang dan berdaya saing.
"Selain itu, peningkatan penarafan AFFIN dalam FTSE4Good daripada tiga bintang kepada empat bintang menandakan prestasi kemampanan yang lebih kukuh serta piawaian yang lebih tinggi yang diharapkan daripada institusi moden'" katanya lagi.
Hadir sama, Pengerusi Affin Bank Berhad, Dato’ Agil Natt, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Berhad, Datuk Wan Razly Abdullah, Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato’ Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan dan Pembangunan Ekonomi), Dato’ Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel dan Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Dato’ Fazzrudin Abdul Rahman.-EDISI UKAS