Kerajaan Sarawak Tunggu Laporan Teknikal Penuh Insiden Kebocoran Gas Di SK Tudan
MIRI: Kerajaan Sarawak tidak akan membuat sebarang keputusan atau spekulasi awal berhubung insiden kebocoran gas yang berlaku di tapak pembinaan Sekolah Kebangsaan (SK) Tudan, sebaliknya menunggu sepenuhnya hasil kajian teknikal serta rekomendasi rasmi daripada semua agensi berkaitan.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pendekatan berhati-hati itu perlu bagi memastikan sebarang keputusan yang diambil adalah tepat dan berlandaskan faktor keselamatan.
Menurut beliau, insiden berkenaan dikesan semalam (Jumaat) selepas pihak sekolah memaklumkan terdapat pelepasan gas ketika kerja cerucuk dijalankan bagi pembinaan kantin baharu SK Tudan.
“Kontraktor kemudiannya menghubungi Sarawak Gas serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). Pasukan bomba tiba di lokasi, mengambil sampel dan berdasarkan rakaman video, gas tersebut keluar dengan tekanan yang kuat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pelantikan dan Jamuan Makan Tengah Hari Anugerah ke-64 JCI Miri 2026 di sebuah hotel di sini, petang ini.
Beliau menjelaskan bahawa ketika kerja piling dijalankan, dua lubang cerucuk sedalam kira-kira 33.6 meter dan 33.9 meter telah mengeluarkan gas secara tiba-tiba.
Dato Sri Lee berkata, beberapa agensi telah berada di tapak kejadian termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), JBPM, Pejabat Residen dan Pejabat Daerah Miri serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Tambah beliau, pada sebelah petang hari kejadian, pasukan khas Hazmat JBPM dari Bintulu turut dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan pemantauan lanjut serta pengambilan sampel gas, di mana hasil awal mengesahkan gas tersebut bersifat mudah terbakar.
Beliau turut memaklumkan bahawa PETROS Sarawak telah menghantar pasukan teknikal ke tapak kejadian dan mengesahkan gas berkenaan bukan berpunca daripada kebocoran paip gas.
“Pada peringkat awal kita mengesyaki kemungkinan paip gas bocor, namun perkara itu telah diketepikan selepas pengesahan PETROS,” katanya.
Menurut beliau, siasatan lanjut kini sedang dijalankan oleh Jabatan Kimia Malaysia dan Jabatan Mineral dan Geosains bagi mengenal pasti jenis gas serta ciri geologi kawasan berkenaan, termasuk kemungkinan kawasan tersebut merupakan kawasan simpanan gas semula jadi.
Mengulas persoalan sama ada sekolah tersebut perlu dipindahkan atau pembinaan diteruskan, Dato Sri Lee menegaskan bahawa tiada sebarang keputusan akan dibuat buat masa ini.
Berhubung sesi persekolahan murid SK Tudan, beliau berkata perkara itu akan dibincangkan bersama pihak pejabat pendidikan dan agensi berkaitan dengan mengambil kira nasihat keselamatan daripada JBPM.
Laporan pemantauan bersama Jabatan Kimia Malaysia Cawangan Bintulu mengesahkan kehadiran hidrokarbon, manakala beberapa bahan lain seperti toluena, aseton dan hidrogen sianida masih belum disahkan dan akan diuji lanjut di makmal.
JBPM dalam laporan operasinya turut mengesahkan bahawa semua kerja pembinaan di tapak berkenaan dihentikan sementara atas faktor keselamatan, dengan pemantauan berterusan dijalankan sehingga semua risiko dikenal pasti dan dikawal sepenuhnya. -EDISI UKAS