210 Golongan Sasar Terima Sumbangan Tahun Baru Cina
LAWAS: Seramai 210 individu daripada golongan orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal menerima sumbangan sempena Majlis Penyampaian Sumbangan Tahun Baru Cina Peringkat Daerah Lawas, pada Jumaat.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Ahli Parlimen Lawas, Datuk Henry Sum Agong yang hadir mewakili Timbalan Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari,Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Menurut Datuk Henry, sumbangan dalam majlis berkenaan merupakan inisiatif prihatin daripada Datuk Amar Awang Tengah, Pusat Khidmat Bukit Sari serta pihak swasta iaitu Lepapa dan Emart, bagi membantu golongan yang memerlukan sempena sambutan Tahun Baru Cina.
Sementara itu, beliau turut menegaskan kepentingan mengekalkan kesihatan yang baik sebagai asas kesejahteraan hidup, di samping mendoakan umur panjang serta rezeki yang berterusan kepada semua penerima.
Beliau turut menyeru agar perpaduan masyarakat majmuk di Lawas terus diperkukuh melalui semangat kerjasama dan saling menghormati, selain menyifatkan pembangunan yang pesat di daerah ini sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi serta tarikan pelancong.
Turut hadir Setiausaha Politik Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Lawas Aminul Fadzrin Abdul Rahim serta Pemanca Tan Yong H’ng. -EDISI UKAS