Tujuh Penerima Sijil Istikhlaf Wali Hakim Sarawak di Mukah
MUKAH: Seramai tujuh individu telah menerima Sijil Istikhlaf Wali Hakim Sarawak daripada Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) Bahagian Mukah, dalam satu majlis yang dianjurkan bersama Bahagian Kemajuan Keluarga Islam, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS).
Majlis penyerahan sijil telah disempurnakan oleh Ketua Hakim Syarie JKSS Sarawak, Datu Awg Suhaili Ledi, di Dewan Bicara JKSS Mukah pada Jumaat.
Dalam ucapannya, Datu Awg Suhaili menegaskan bahawa majlis ini bukan sekadar simbolik penyerahan tauliah, tetapi mengiktiraf amanah besar dalam pentadbiran perkahwinan menurut hukum Islam.
“Pelantikan ini menzahirkan kerjasama erat antara JAIS sebagai penggerak pentadbiran nikah dan Mahkamah Syariah sebagai pelaksana kuasa kehakiman, selaras aspirasi Sarawak untuk memperkukuh institusi keluarga serta memastikan perkahwinan mengikut syarak dan undang-undang,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa akad nikah tidak sah tanpa wali, dan seorang perempuan tidak boleh mengahwinkan dirinya sendiri mahupun orang lain. Ini adalah prinsip hukum syarak yang qat’i dan menjadi asas kesahan perkahwinan dalam Islam.
Selain itu, Datu Awg Suhaili menyeru agar semua pasangan yang ingin berkahwin menghormati dan mendahulukan wali aqrab dalam semua urusan perkahwinan, sebagai langkah menjaga keharmonian keluarga.
Hadir sama, Pegawai Hal Ehwal Islam Pejabat Agama Islam Bahagian Mukah, Ustaz Norazman Abdullah, serta Hakim Syarie JKSS Mukah, Nur Azhar Abdullah.- EDISI UKAS