Upacara Menitik Mata Singa di Mukah Teguhkan Perpaduan Kaum
MUKAH: Upacara tradisi menitik mata singa sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Mukah menjadi simbol perpaduan masyarakat berbilang kaum serta usaha berterusan mengekalkan warisan budaya tempatan.
Majlis yang berlangsung di Pek Gong Mukah pada Jumaat itu diserikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine.
Royston menegaskan bahawa upacara ini bukan sekadar ritual kebudayaan komuniti Tionghoa, malah mencerminkan semangat muhibah dan keharmonian dalam kalangan masyarakat setempat.
Sebanyak sembilan ekor singa baharu telah menjalani upacara eye-doting ceremony, dengan Royston antara penyumbang utama selain daripada pelbagai komuniti dan individu. Beliau menyifatkan peningkatan jumlah sumbangan dari tahun ke tahun sebagai bukti sokongan berterusan terhadap pemeliharaan tradisi dan pengukuhan hubungan antara kaum.
“Sumbangan ini menyokong aktiviti persatuan tarian singa dan naga yang aktif menganjurkan program kebudayaan dan kemasyarakatan di Mukah,” katanya.
Beliau turut memuji penglibatan belia daripada pelbagai kaum, termasuk Melayu, Melanau dan Iban dalam aktiviti tarian singa dan naga, sebagai satu petanda positif terhadap usaha memperkukuh perpaduan di peringkat akar umbi.
Royston berharap agar perpaduan yang terjalin melalui aktiviti kebudayaan seperti ini terus diperkasa, bagi memastikan Sarawak kekal sebagai negeri yang aman, harmoni, maju dan makmur.
Selesai upacara, Royston bersama yang lain turut mengagihkan limau mandarin kepada pengguna jalan raya di sekitar Pek Gong Mukah.
Hadir sama pada majlis itu ialah Penghulu Henry Lee Liong Ing, Kapitan Ting Siew Leong, Kapitan Kueh Bing Chuan, Pengerusi Mukah Chinese Benevolent, Yeo Tiong Ing, Chairman Kelab Tarian Singa Mukah, Ho Ing Siong serta penaja-penaja singa daripada syarikat seperti Sinong Pelita, YS Ice Cube, MK99 dan Kim Hock Supermarket. - EDISI UKAS