ASSAR Umum Dividen 3.0 Sen Seunit, Manfaat 57,878 Pemegang Unit
KUCHING: Tabung Amanah Saham Sarawak (ASSAR) mengumumkan pengagihan dividen interim sebanyak 3.0 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, melibatkan jumlah RM15.24 juta kepada 57,878 pemegang unit.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pengagihan tersebut merupakan yang kelima selepas penstrukturan ASSAR dan dikira berdasarkan baki pegangan unit pada 31 Disember 2025.
“Pengagihan kali kelima pasca penstrukturan ini, yang berjumlah RM15.24 juta akan memberi manfaat kepada 57,878 pemegang unit ASSAR, dikira berdasarkan baki pegangan unit mereka pada 31 Disember 2025.
“Ini bermakna terdapat lebihan pendapatan
sebanyak RM12.95 juta yang tersedia sebagai
rizab bagi menampung pendapatan dana ASSAR untuk tempoh yang seterusnya,” katanya dalam satu majlis yang berlangsung di Kompleks Satria Pertiwi pada Jumaat.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari memaklumkan prestasi ASSAR kekal stabil hasil strategi peruntukan aset yang berhemah serta pengurusan risiko yang proaktif.
Menurutnya, bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, ASSAR merealisasikan pendapatan kasar sebanyak RM19.87 juta.
“Jumlah pendapatan kasar yang direalisasikan
bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 ialah RM19.87 juta, di mana 42 peratus atau RM8.34 juta adalah pendapatan faedah daripada sekuriti berpendapatan tetap, dan 36 peratus atau RM7.18 juta merupakan keuntungan daripada penjualan ekuiti / saham.
“Selain itu, 14 peratus atau RM2.83 juta pendapatan dividen daripada pegangan ekuiti / saham; dan selebihnya 8 peratus atau RM1.52 juta terdiri daripada pendapatan faedah daripada instrumen pasaran wang dan keuntungan daripada penjualan sekuriti berpendapatan tetap,” jelasnya.
Premier Sarawak memberitahu, sekuriti berpendapatan tetap terus menjadi tunjang
kepada dana ASSAR, memberi aliran pendapatan yang stabil serta mengurangi impak daripada keadaan pasaran saham yang kurang menentu.
Katanya, selepas ditolak perbelanjaan sebanyak RM3.68 juta, ASSAR mencatat pendapatan bersih RM16.19 juta.
Beliau berkata, dengan mengambil kira lebihan pendapatan RM12 juta daripada tahun kewangan sebelumnya, jumlah pendapatan boleh agih setakat 31 Disember 2025 mencecah RM28.19 juta.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Patinggi Tan Sri Leonard Linggi Jugah, Pengerusi Kumpulan Syarikat Permodalan ASSAR Dato Sri Wahab Dolah dan dif kenamaan lain.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Ibanez Jeffery Guang