BETONG: Dominasi pasukan bola jaring Zon Selatan terus terserlah apabila dua wakilnya, Zon Selatan A dan Zon Selatan B, berjaya mengesahkan tempat ke perlawanan akhir selepas mencatat kemenangan meyakinkan dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di sini, pada Jumaat.
Perlawanan separuh akhir pertama menyaksikan Zon Selatan A berdepan Zon Utara B sebelum Zon Selatan B turun menentang Zon Tengah dalam pertembungan yang turut menjadi penentu laluan ke pentas akhir.
Kedua-dua pasukan Zon Selatan mempamerkan aksi bertenaga apabila Zon Selatan A menewaskan Zon Utara B dengan keputusan 34–26, manakala Zon Selatan B menundukkan Zon Tengah 33–27, sekali gus menempah tiket ke final yang dijadualkan berlangsung pada pagi Sabtu.
Mengulas kejayaan tersebut, Pengurus Pasukan Zon Selatan A, Nurliyana Izzati Abdul Majid, menyifatkan kemenangan itu sebagai hasil kerja keras dan persediaan rapi yang ditunjukkan oleh para atlet sepanjang kejohanan.
Menurutnya, kejayaan mara ke perlawanan akhir hadir bersama pelbagai emosi, namun fokus pasukan kini adalah untuk memastikan tahap prestasi atlet kekal konsisten, berdisiplin dan mencapai sasaran yang telah ditetapkan.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Zon Selatan B, Magdalene Muring Baru, turut melahirkan rasa syukur apabila pasukannya berjaya merealisasikan sasaran untuk melangkah ke peringkat akhir.
Beliau menjelaskan bahawa prestasi yang dipamerkan atlet setakat ini adalah selari dengan perancangan pasukan, dengan penekanan terhadap permainan yang kemas, berhati-hati serta keberkesanan serangan dalam menghasilkan jaringan.
Menjelang perlawanan akhir, tumpuan utama kedua-dua pasukan adalah memastikan setiap pemain beraksi mengikut strategi yang telah dirangka bagi mengekalkan momentum kemenangan. -EDISI UKAS