Ting Rangkul Emas Taekwondo, Azam Tingkatkan Lagi Prestasi
BETONG: Atlet taekwondo muda, Ting Foo Wei, 17 tahun, membuktikan usia bukan penghalang untuk mencipta kejayaan apabila berjaya meraih pingat emas dalam acara Kyorugi kategori Lelaki 87 kilogram ke atas pada temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026 yang berlangsung pada Jumaat.
Kejayaan tersebut dicapai selepas beliau memperaga persembahan cemerlang, aksi bertenaga serta kawalan teknik yang mantap sepanjang perlawanan, sekali gus menewaskan lawannya dalam aksi final dengan penuh keyakinan.
Ketika ditemui selepas perlawanan, Ting melahirkan rasa syukur atas kejayaan yang diraih namun mengakui masih terdapat beberapa aspek yang perlu diperbaiki bagi meningkatkan prestasi pada masa hadapan.
“Saya bersyukur kerana berjaya memperoleh pingat emas hari ini, namun masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki terutamanya dari segi teknik, kelajuan dan strategi perlawanan,” katanya ketika ditemui.
Menurutnya, penyertaan dalam temasya SUKSAR edisi kali ini memberi peluang berharga untuk menimba pengalaman serta menguji tahap kemampuan sebenar sebelum melangkah ke kejohanan yang lebih besar.
“Saya menjadikan kejohanan ini sebagai platform untuk mempertingkatkan mutu permainan dalam sukan taekwondo dan berharap dapat terus meningkatkan prestasi serta memberi cabaran lebih kuat pada pertandingan akan datang,” tambahnya.
Semangat juang tinggi serta sikap tidak mudah berpuas hati yang ditunjukkan Ting dilihat sebagai petanda positif dalam usaha melahirkan lebih ramai pelapis berbakat yang berpotensi mengharumkan nama pasukan dan negeri pada masa akan datang. - EDISI UKAS