ASSAR Perluas Akses Perkhidmatan Pelaburan Menerusi Inisiatif Fizikal dan Digital
KUCHING: Tabung Amanah Saham Sarawak (ASSAR) memperluaskan akses perkhidmatan pelaburan kepada rakyat Sarawak menerusi pelaksanaan inisiatif fizikal dan digital bagi memastikan penyampaian perkhidmatan lebih mudah dicapai oleh setiap lapisan masyarakat.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pihak pengurusan ASSAR telah melaksanakan beberapa inisiatif termasuk kolaborasi bersama Service Sarawak bagi menyediakan kaunter perkhidmatan ASSAR pada hari-hari tertentu di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Sibu dan Miri, serta peluasan perkhidmatan ke Sarikei.
Selain itu, beliau berkata ASSAR turut memanfaatkan kemudahan rangkaian Sarawak Rural Broadband Network (mySRBN) yang disediakan oleh Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) bagi menggerakkan perkhidmatan pejabat bergerak di kawasan pinggir dan luar bandar.
Menurutnya, inisiatif tersebut turut disokong dengan bantuan kerjasama daripada pejabat daerah serta ketua masyarakat dan ketua kampung.
“Saya berharap inisiatif seperti ini akan diteruskan dan diperluaskan. Kita mahu melihat lebih banyak inovasi dalam cara penyaluran perkhidmatan di Sarawak ini khususnya di kawasan luar bandar agar ia lebih inklusif, lebih mesra rakyat dan lebih
efisien,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Pengumuman Dividen ASSAR di Kompleks Satria Pertiwi pada Jumaat.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menekankan kepentingan pendigitalan dalam memperluaskan budaya simpanan dan pelaburan dalam kalangan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.
Beliau berkata, dengan infrastruktur digital yang semakin mantap, platform seperti SPay Global boleh dimanfaatkan sebagai saluran mudah bagi rakyat untuk menyimpan dan melabur melalui ASSAR.
Beliau menyeru rakyat Sarawak agar terus menyokong produk dan inisiatif pelaburan yang ditawarkan oleh ASSAR sebagai usaha bersama membina masa depan yang lebih mampan.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Patinggi Tan Sri Leonard Linggi Jugah, Pengerusi Kumpulan Syarikat Permodalan ASSAR Dato Sri Wahab Dolah dan dif-dif kenamaan lain.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Ibanez Jeffery Guang