10 Peserta Persembahkan Bacaan Hafazan Pada Hari Ketiga Majlis Hafazan Al-Quran Peringkat Sarawak Ke-65
SERIAN: Seramai 10 orang peserta hafazan memperdengarkan bacaan masing-masing pada hari ketiga Majlis Hafazan Al-Quran Peringkat Sarawak Kali Ke-65 Tahun 1447H/2026M di Pusat Konvensyen Serian, pada Jumaat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Hal Ehwal Islam Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi hadir bagi memeriahkan majlis tersebut.
Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Mual Suaud, Timbalan Residen Bahagian Serian Abdul Khalid Manap, Pegawai Agama Islam Bahagian Serian Madihi Jamali serta barisan tetamu jemputan yang lain.
Program turut diserikan dengan persembahan daripada Madrasah Taman Anggerik Indah, Serian, yang menarik perhatian hadirin dan menambah nilai pengisian rohani sepanjang majlis berlangsung.
Majlis penyampaian hadiah dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 7 Februari 2026, dan akan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Majlis berprestij ini turut dijangka dihadiri oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.-EDISI UKAS