SUKSAR IV: Pematuhan Piawaian dan Kawalan Kualiti Penganjuran Terus Diperketat
LUBOK ANTU: Tahap kesiapsiagaan serta pematuhan piawaian penganjuran sukan terus diberi penekanan bagi memastikan kelancaran dan kredibiliti penganjuran Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026.
Sehubungan itu, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Pengerusi SUKSAR IV 2026 Datuk Gerald Rentap Jabu, telah mengadakan lawatan kerja ke gelanggang pertandingan sepak takraw di Dewan Kompleks Sukan Lubok Antu pada Jumaat bagi menilai tahap persediaan fasiliti.
Dalam lawatan tersebut, beliau meneliti aspek teknikal termasuk susun atur gelanggang, kemudahan atlet, keselamatan serta pengurusan pertandingan bagi memastikan pertandingan dapat dijalankan secara profesional, adil dan selamat.
Menurut beliau, persediaan rapi merupakan elemen penting dalam memastikan SUKSAR 2026 bukan sahaja berjalan lancar, malah menjadi platform terbaik dalam mencungkil bakat baharu sukan sepak takraw Sarawak, khususnya dalam usaha pemilihan atlet ke peringkat lebih tinggi termasuk Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
Turut hadir semasa lawatan ini ialah Ahli Parlimen Lubok Antu Roy Angau Ginkoi, Timbalan Residen Bahagian Sri Aman Charlie Keling, Pegawai Daerah Lubok Antu Aloi Ejau dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Kua Jack Seng.-EDISI UKAS