20,000 Penduduk Sungai Asap Nikmati Manfaat Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi
BELAGA : Kira-kira 20,000 penduduk di Sungai Asap kini menikmati manfaat akses jalur lebar berkelajuan tinggi menerusi pelaksanaan Projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi yang melengkapkan inisiatif Perkampungan Digital Sungai Asap.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Telekomunikasi), Datuk Liwan Lagang berkata, projek tersebut melibatkan pemasangan sejauh 140 kilometer gentian optik serta pembinaan sebuah menara telekomunikasi yang merangkumi 28 tapak di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, projek ini memberi manfaat kepada 15 rumah panjang melibatkan komuniti Kenyah, Kayan, Lahanan, Seping, Ukit dan Penan, selain turut memanfaatkan tujuh agensi kerajaan, tiga buah sekolah serta dua rumah ibadat.
“Projek ini menelan kos sekurang-kurangnya RM37 juta dan bertujuan merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar supaya kemudahan jalur lebar berkelajuan tinggi dapat dinikmati secara saksama oleh masyarakat luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Sesi Libat Urus Projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi – Perkampungan Digital Sungai Asap yang berlangsung di Dewan Komuniti Sungai Asap, pada Jumaat.
Tambah beliau, projek ini turut memanfaatkan laluan Right of Way (ROW) Sarawak Energy Berhad (SEB) bagi mempercepatkan penyediaan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi yang lebih berpatutan kepada komuniti setempat.
“Akses digital ini amat penting bagi memperkukuh sektor pendidikan, penjagaan kesihatan, tadbir urus dan perdagangan digital selaras dengan aspirasi Kerajaan Sarawak menerusi Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon berkata, projek Perkampungan Digital Sungai Asap berpotensi menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi komuniti luar bandar.
Menurutnya, pelaksanaan projek tersebut membuka ruang kepada pelbagai perkhidmatan digital termasuk e-kerajaan, pendidikan digital, pertanian pintar serta sistem keselamatan awam.
“Infrastruktur digital yang dibangunkan ini juga mampu merangsang pertumbuhan ekonomi luar bandar melalui sokongan terhadap bidang keusahawanan, pasaran dalam talian dan perniagaan digital berteraskan inovasi,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Pengurus Besar Sarawak Multimedia Authority (SMA), Ts. Dr. Suhaila Jaffar berkata, kejayaan pelaksanaan projek jalur lebar berkelajuan tinggi oleh SMA di Daerah Sebauh, Bintulu pada tahun 2022 telah memberi impak positif kepada komuniti setempat.
“Kini, inisiatif tersebut diperluaskan ke Sungai Asap sebagai usaha berterusan memacu transformasi komuniti digital luar bandar,” jelasnya.
Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif SACOFA, Jafer Sadig Abdul Lathiff serta wakil daripada pelbagai agensi termasuk Jabatan Tanah dan Survei, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Sarawak Energy Berhad (SEB), Telekom Malaysia dan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC).- EDISI UKAS