Ariana Kagum Komitmen Atlet Berbasikal Zon Selatan
BETONG: Ketua Jurulatih kem berbasikal Zon Selatan, Ariana Nurminda kagum dengan komitmen yang ditunjukkan oleh anak buahnya dalam temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026.
Menurut beliau, meskipun pada peringkat awal keyakinan itu masih lagi goyah memandangkan ramai muka baharu membarisi skuad, namun prestasi yang ditampilkan oleh atletnya dalam dua hari ini mengubah segalanya.
Zon Selatan setakat Jumaat telah memungut lapan pingat secara keseluruhannya iaitu empat emas, tiga perak dan satu gangsa.
“Untuk masa ini, skuad kami masih banyak budak-budak baru tetapi sesiapa yang umurnya layak untuk menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026, kita akan membuat senarai panjang terlebih dahulu.
“Keputusan dari SUKSAR kali ini akan terus dipantau dari masa ke semasa hinggalah tiba waktu SUKMA nanti di mana dari senarai tersebut, kita akan tetapkan senarai akhir untuk memasuki skuad SUKMA Sarawak,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Pingat Acara Berbasikal Ujian Masa Individu dan Berpasukan, di Dataran Medan, di sini, pada Jumaat.
Jelas beliau, senarai berkenaan tidak bersifat eksklusif kepada Zon Selatan sahaja sebaliknya kepada semua atlet dari zon masing-masing sekiranya menunjukkan prestasi yang memberangsangkan.
Dalam saingan dua hari ini, Kenny Lim Zhen Xiang antara nama yang menyerlah apabila beliau menyumbang dua emas untuk acara individu iaitu Perlumbaan Berbasikal Lebuhraya Kategori Lelaki dan Perlumbaan Ujian Masa Individu Lelaki.
Manakala dua lagi emas dituai menerusi acara berkumpulan iaitu Perlumbaan Jalan Raya Berpasukan dan Perlumbaan Ujian Masa Berpasukan.
Sementara itu, Awang Faries Danish Awang Faizal dalam acara Perlumbaan Ujian Masa Individu Lelaki dan Ong Wei Jie untuk acara Perlumbaan Berbasikal Lebuhraya Kategori Lelaki masing-masing menyumbang pingat perak.
Satu lagi pingat perak disumbangkan oleh Dayang Fariesha Damia Awang Faizal menerusi acara Perlumbaan Ujian Masa Individu Wanita manakala gangsa tunggal dituai oleh Dayang Nurdanisha Qistina Awang Heriwan menerusi acara Perlumbaan Berbasikal Lebuhraya Kategori Wanita. -EDISI UKAS