Zon Selatan Tutup Kempen Taekwondo Dengan Prestasi Cemerlang, Raih 16 Pingat
BETONG: Zon Selatan menamatkan kempen acara Taekwondo dengan penuh bergaya apabila mengumpul keseluruhan 16 pingat, sekali gus muncul antara pasukan paling menyerlah dalam disiplin berkenaan.
Daripada jumlah itu, lapan pingat emas, empat perak dan empat gangsa berjaya diraih, dengan kategori Kyorugi menjadi penyumbang utama kejayaan Zon Selatan.
Enam emas disumbangkan menerusi Kyorugi oleh Edison Phang Kheng Kai (Kelas Fin Bawah 54kg), Hugh Teng Chen Hang (Kelas Fin 54–58kg), Chloe Tan You Xin (Kelas Feather 53–57kg), Martha Evyanna Ajan (Kelas Fin Bawah 46kg), Humaira Ling (Kelas Fly 46–49kg) dan Elvie Wong Xuan Xuan (Kelas Tengah 67–73kg), yang masing-masing menampilkan aksi meyakinkan untuk bergelar juara.
Dua lagi pingat emas disumbangkan oleh Jason Joan Joshua dalam acara Poomsae Diiktiraf Individu Lelaki, serta Iris Nur Irdina Mohd Yusof menerusi Poomsae Diiktiraf Individu Wanita.
Sementara itu, empat pingat perak turut diraih melalui Kyorugi hasil sumbangan Nurul Atiqah Juliana Zarim (Kelas Bantam 49–57kg), Maisarah Azzahra Arzlan (Kelas Fin Bawah 46kg), Yuan Song Liew (Kelas Bantam 58–63kg) dan Calvin Chong Zhou Bing (Kelas Tengah 80–87kg).
Bagi pingat gangsa, tiga diperoleh dalam kategori Kyorugi menerusi Elroy Tang Rui Hui (Kelas Feather 63–68kg), Xinnia En Xin Poi (Kelas Bantam 49–53kg) dan Elvyna Fidellia Nelson Ijau (Kelas Fly 46–49kg), manakala satu lagi disumbangkan oleh Avila Vianney Tet-Foot dalam acara Poomsae Diiktiraf Individu Wanita.
Dalam perkembangan lain, Zon Tengah mencatat pencapaian seimbang apabila meraih enam pingat bagi setiap warna—emas, perak dan gangsa—menjadikan jumlah keseluruhan 18 pingat.
Zon Utara pula mengumpul tiga emas, tujuh perak dan 11 gangsa, manakala Zon Barat membawa pulang satu emas serta 11 gangsa. -EDISI UKAS