LUBOK ANTU: Keadaan trek balapan di padang Kompleks Sukan Lubok Antu yang dikenal pasti uzur dan memerlukan perhatian segera menjadi fokus satu lawatan kerja bagi menilai tahap kerosakan serta keperluan menaik taraf kemudahan berkenaan.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Pengerusi Sukan Sarawak (SUKSAR) 2026, Datuk Gerald Rentap Jabu telah mengadakan lawatan ke lokasi tersebut pada Jumaat bagi meninjau keadaan trek balapan serta menilai aspek keselamatan dan kesesuaiannya untuk aktiviti sukan dan latihan atlet.
Menurut Datuk Gerald, usaha menaik taraf kemudahan sukan merupakan keutamaan bagi memastikan pembangunan sukan di peringkat akar umbi dapat dilaksanakan secara berterusan.
Tambah beliau, kemudahan yang berkualiti bukan sahaja menyokong prestasi atlet, malah menggalakkan penglibatan golongan belia dalam aktiviti sihat dan berfaedah.
Beliau turut menegaskan bahawa naik taraf kemudahan sukan adalah selaras dengan aspirasi Kerajaan Sarawak dalam memperkasa pembangunan belia, memperkukuh ekosistem sukan negeri serta menyediakan prasarana yang mampan untuk kegunaan jangka panjang komuniti setempat.
Hadir sama semasa lawatan ialah Ahli Parlimen Lubok Antu Roy Angau, Timbalan Residen Bahagian Sri Aman Charlie, Pegawai Daerah Lubok Antu Aloi Ejau dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Kua Jack Seng.-EDISI UKAS