Projek Penyambungan Bekalan Air Bersih Terawat ke Kawasan Paas, Kampung Sikog Di Peringkat Penyediaan Teknikal
PADAWAN: Projek Penyambungan Bekalan Air Bersih Terawat ke kawasan Paas, Kampung Sikog yang dilaksanakan di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong kini berada di peringkat penyediaan dokumen teknikal.
Menurut Pegawai Tadbir Khas kepada Datuk Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara & Jalan) merangkap ADUN Mambong, Keron Mapus berkata, projek yang melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM250,00 itu masih belum bermula secara fizikal kerana proses penyediaan dokumen teknikal sedang dijalankan.
“Sarawak Water Sdn. Bhd. telah menyerahkan projek kepada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Kuching.
“JBALB kini bertindak sebagai agensi pelaksana dan telah menjalankan kerja-kerja penyukatan tapak bagi penyediaan Bill of Quantities (BQ),” katanya selepas melawat tapak projek berkenaan pada Jumaat.
Keron menambah, setelah BQ siap sepenuhnya, dokumen tersebut akan dikemukakan ke Pejabat Residen bagi proses cabutan undi kontraktor sebelum pelaksanaan projek dimulakan.-EDISI UKAS